KATARAK KANAK-KANAK: MENYINGKAP CABARAN PENGLIHATAN SEAWAL USIA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 April 2025 - Katarak atau lebih dikenali sebagai selaput mata merupakan pengabusan kanta mata yang terletak di belakang iris dan anak mata.
Katarak bukan hanya dihidapi oleh orang dewasa tetapi kanak-kanak juga boleh menghidap katarak dan kesannya mungkin lebih teruk.
Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ng Kwang Sheng, penglihatan kanak-kanak berkembang bermula usia lapan (8) hingga 10 tahun.
“Sekiranya katarak berlaku sebelum mencapai perkembangan, ia akan memberi kesan yang teruk dan kekal kepada penglihatan mereka seperti mata malas (amblyopia), mata juling dan nistagmus,” ujarnya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Beliau berkata, katarak pediatrik pada kedua-dua belah mata boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap penyakit seperti kencing manis, sindrom seperti sindrom down, jangkitan semasa dalam kandungan seperti rubella, sifilis, toksoplasmosis serta disebabkan oleh mutasi genetik yang merupakan antara punca sebagai penyakit keturunan.
“Manakala katarak pediatrik sebelah mata pula tidak berkaitan dengan penyakit sistemik atau diwarisi tetapi kebiasaanya berpunca daripada masalah perkembangan setempat okular ataupun berkait dengan penyakit masalah perkembangan okular seperti ‘persistent fetal vasculature’ iaitu saluran arteri tidak normal dalam mata sejak lahir atau akibat kecederaan.
“Sekiranya katarak tidak teruk dan kedudukan tidak menghalang laluan penglihatan, pesakit biasanya tidak menunjukkan apa-apa gejala dan diagnosis boleh ditangguhkan,” jelasnya lagi.
Tambah Kwang Sheng, bagi pesakit yang mengalami katarak ketara, mereka mungkin tidak memberi respon terhadap cahaya, sukar melihat seperti tidak dapat mengambil mainan, mata juling, nistagmus (pergerakan mata tidak terkawal) dan terdapat titik putih pada anak mata (leukocoria).
“Doktor biasanya akan mengambil maklumat berkaitan sejarah keluarga, penyakit keturunan, sejarah kehamilan dan kecederaan yang pernah dialami sebelum menjalankan pemeriksaan mata bagi mengenal pasti sama ada kanak-kanak tersebut menghidap katarak atau penyakit mata lain, jenis katarak, masalah penglihatan seperti rabun, serta penyakit berkaitan. Sekiranya kanak-kanak masih kecil, pemeriksaan mungkin perlu dilakukan di bawah bius.
“Bagi pesakit yang mempunyai katarak ketara, pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan kanta mata asal dan digantikan dengan kanta palsu.
“Namun, sekiranya pesakit tersebut terlalu kecil, kanta palsu mungkin akan dimasukkan kemudian,” terangnya.
Kwang Sheng berkata, walaupun pembedahan katarak secara umumnya adalah selamat, namun terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku seperti jangkitan, pendarahan, masalah retina, peningkatan tekanan mata, pemindahan kanta palsu semasa mata berkembang dan sebagainya.
“Rawatan susulan amat penting dan memerlukan perhatian ibu bapa sepanjang proses pemulihan.
“Pesakit perlu memakai ubat titis dengan kerap, memakai pelindung mata, menghadiri rawatan susulan dan rawatan untuk mata malas seperti memakai penutup mata.
“Rawatan mata malas perlu dilakukan dengan betul kerana jika tidak dirawat sebelum perkembangan penglihatan terhenti, kekurangan penglihatan akan menjadi kekal seumur hidup," katanya.
Menurut beliau, selepas pembedahan katarak, kebanyakan pesakit perlu memakai cermin mata untuk membetulkan masalah rabun, terutamanya dalam tempoh perkembangan mata yang boleh menyebabkan rabun berubah.
“Cermin mata untuk membaca juga diperlukan supaya penglihatan jelas dan tidak menjadi mata malas,” ulasnya lagi.
Kwang Sheng turut menasihatkan ibu bapa agar segera mendapatkan rawatan di klinik mata berdekatan sekiranya terlihat titik putih pada mata anak-anak, kerana gejala tersebut juga boleh menandakan kanser retinoblastoma.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 44