KEGANASAN RUMAH TANGGA: KETAHUI HAK ANDA DAN PERANAN OSCC
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 April 2026 - Keganasan rumah tangga merupakan isu kesihatan awam yang serius kerana memberi kesan yang mendalam kepada mangsa dari segi fizikal, emosi dan sosial. Lebih membimbangkan, ramai mangsa didapati sukar untuk keluar daripada hubungan tersebut disebabkan ‘cycle of violence’.
Sehubungan itu, penubuhan 'One Stop Crisis Center' (OSCC) sebagai pusat khidmat bersepadu di hospital adalah amat penting dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga terutama dalam menyediakan pengurusan menyeluruh dari segi rawatan perubatan, dokumentasi kes, sokongan emosi serta bantuan perlindungan melalui perintah di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Salmi Illyana Mohd Asari berkata, keganasan rumah tangga merujuk kepada situasi di mana seseorang dalam hubungan intim atau keluarga cuba mengawal dan menguasai pasangan atau ahli keluarga yang lain.
“Dalam kebanyakkan kes, mangsa mungkin tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang didera kerana perlakuan tersebut berlaku secara halus dan berterusan.
“Ia merupakan isu universal yang semakin meningkat dan boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, bangsa, status ekonomi dan agama,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Menurut beliau, keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal sahaja, malah turut melibatkan penderaan emosi dan psikologi.
“Selain penderaan seperti memukul, menendang atau menampar, keganasan seksual juga merupakan satu bentuk penderaan, iaitu apabila seseorang dipaksa menjalinkan hubungan tanpa kerelaan.
“Keganasan juga bukan sahaja terhad kepada aspek fizikal, malah boleh berlaku dalam bentuk emosi dan psikologi seperti ugutan, perbuatan merosakkan harta benda atau ancaman untuk melarikan anak sekiranya mangsa membuat aduan.
“Di samping itu, terdapat juga pasangan yang mengawal mangsa dari segi kewangan serta mengehadkan pergerakan mangsa, termasuk menggunakan bahan terlarang seperti alkohol dan dadah. Walaupun keganasan ini mungkin tidak meninggalkan kesan kecederaan fizikal yang jelas, namun impaknya sangat mendalam dan berpanjangan kepada mangsa yang terlibat,” ujarnya lagi.
Tambah Salmi Illyana, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mangsa keganasan rumah tangga terus berada dalam hubungan tersebut.
“Mangsa biasanya takut untuk keluar daripada hubungan tersebut disebabkan kebergantungan kewangan dan demi penjagaan anak-anak.
“Dalam kebanyakan kes, mangsa juga percaya bahawa pasangan mereka akan berubah dan semua ini berlaku dalam satu kitaran yang dipanggil ‘cycle of violence’, di mana terdapat tiga (3) fasa, iaitu fasa tegang, diikuti fasa keganasan dan kemudian fasa ‘honeymoon’ yang membuatkan mangsa terus berharap.
“Keadaan ini menyebabkan mangsa merasakan seolah-olah tiada jalan keluar untuk mereka dan ketika ini, sokongan serta intervensi awal sangat penting untuk membantu mangsa keluar dari situasi ini," jelasnya.
Mengulas lanjut, Salmi Illyana berkata, Pusat Khidmat Bersepadu ataupun OSCC, telah ditubuhkan di Jabatan Kecemasan setiap hospital di seluruh Malaysia bertujuan menyediakan pengurusan menyeluruh kepada mangsa rogol, penderaan dan pengabaian kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan buli.
“Di OSCC, mangsa akan diberi rawatan perubatan mengikut tahap kecederaan dan segala dokumentasi kes dibuat secara terperinci kerana semua kes di OSCC adalah bersifat ‘medicolegal’.
“Selain itu, keselamatan dan kerahsiaan mangsa turut diberi perhatian di samping menyediakan sokongan emosi serta membuat rujukan kepada pihak berkaitan seperti pasukan psikiatri, Unit Kerja Sosial Perubatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis dan badan bukan kerajaan.
“Mangsa tidak perlu takut dan risau kerana pihak kami boleh membantu mendapatkan perlindungan melalui perintah seperti 'Emergency Protection Order' atau 'Interim Protection Order' di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” ulasnya lanjut.
Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan segera dapatkan bantuan dengan menghubungi Talian Kasih, 15999 atau menghubungi pihak polis di talian 999 atau terus mendapatkan bantuan di OSCC.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Mohd Asrar Rokeman
- Created on .
- Hits: 216