Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KEPENTINGAN PEMELIHARAAN GIGI TIRUAN: TIPS UNTUK KESIHATAN ORAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 November 2025 – Gigi tiruan atau prostesis bukan sahaja berfungsi menggantikan gigi yang hilang malah turut membantu meningkatkan keupayaan mengunyah, memperjelas sebutan ketika bercakap dan mengekalkan serta mengembalikan senyuman pesakit.

1000199779

Menurut Pakar Prostodontik dan Pensyarah Pergigian, Unit Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azirrawani Ariffin, salah faham dalam kalangan pesakit mengenai jangka hayat gigi tiruan yang sering disangka kekal seumur hidup kini perlu diperbetulkan.

"Persepsi ini boleh membawa kepada pengabaian penjagaan lanjutan, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai komplikasi oral.

“Prostesis oral merupakan cabang dalam bidang prostodontik yang menumpukan kepada reka bentuk, pembuatan dan penempatan alat prostetik bagi menggantikan gigi, tisu lembut atau struktur tulang yang hilang dalam rongga mulut.

“Prostesis oral merangkumi pelbagai jenis peranti yang boleh bersifat tetap atau boleh tanggal bergantung kepada keperluan klinikal dan keadaan pesakit," jelasnya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Azirrawani berkata, antara jenis prostesis ialah jambatan gigi atau bridge, gigi palsu penuh dan separa serta implan gigi dengan korona atau overdenture.

Tambahnya, penjagaan prostesis dan pemeriksaan pergigian berkala amat penting untuk memastikan kesihatan mulut, namun begitu aspek ini sering diabaikan.

“Pemeriksaan gigi secara berkala, sekurang-kurangnya setiap enam (6) bulan atau setahun sekali amat penting bagi memastikan prostesis dan tisu sokongan berada dalam keadaan baik.

“Penjagaan prostesis yang baik membantu mengekalkan fungsi gigi tiruan, mengurangkan risiko komplikasi dan memastikan senyuman sihat untuk jangka masa panjang," ujarnya lagi.

Beliau berkata, walaupun gigi tiruan tahan terhadap kaviti atau karies, ia masih berpotensi menimbulkan masalah kebersihan di kawasan sekitar gigi penyangga atau penyokong.

“Antara komplikasi yang boleh timbul termasuk karies gigi, masalah gusi, keretakan prostesis serta tekanan berlebihan pada gigi dan gusi sekitarnya.

“Bagi pengguna gigi palsu penuh, risiko lain termasuk masalah kesihatan mulut seperti radang tisu mulut (stomatitis), jangkitan kulat (candidiasis) pada rahang dan permukaan gigi tiruan, ulser, bau mulut serta gigi palsu menjadi longgar.

“Gigi palsu yang longgar boleh menyebabkan tulang rahang mengecut dan tisu penyokong menjadi lembut sekali gus menyukarkan pemakaian gigi palsu pada masa hadapan serta menjejaskan kualiti hidup pesakit," jelasnya.

Menurut Azirrawani lagi, pengabaian kebersihan mulut terhadap gigi implan pula boleh menyebabkan kereputan tulang di sekeliling implan sehingga menjadi longgar dan menjejaskan rawatan prostetik seterusnya.

“Secara umum, jangka hayat gigi tiruan ialah antara lima (5) hingga 10 tahun bergantung kepada jenis prostesis, penjagaan dan perubahan fisiologi rongga mulut.

“Selain itu, jika gigi tiruan longgar ia perlu dilapik semula untuk mengelakkan tekanan berlebihan pada tisu lembut dan struktur sekeliling,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar warga emas memberi perhatian yang lebih kepada gigi tiruan mereka kerana tisu mulut mereka lebih sensitif.

“Langkah penting yang perlu dilakukan ialah membersihkan gigi tiruan secara harian, merendamnya semalaman, membersih gusi dan lidah serta menjalani pemeriksaan pergigian berkala.

“Pemeriksaan berkala penting bagi menyesuaikan gigi palsu mengikut perubahan rahang dan mengelak pemakaian terlalu lama.

“Sekiranya timbul ketidakselesaan, pesakit disarankan berjumpa doktor gigi untuk pelarasan dan elakkan memakai gigi palsu yang sama terlalu lama contohnya sehingga 15 atau 20 tahun," ulasnya lanjut.

Azirrawani turut menasihatkan golongan muda agar sentiasa memastikan gigi asli yang masih ada tidak rosak akibat pembentukan plak daripada gigi tiruan.

Teks: Marlina Zahari/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 102