Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KERINTANGAN INSULIN: PUNCA DAN KESANNYA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Oktober 2023 – Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas dan berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah supaya sentiasa dalam keadaan normal.

Dalam badan manusia, selepas setiap kali pengambilan makanan, karbohidrat daripada makanan akan ditukarkan kepada gula ringkas dan ini menyebabkan paras gula di dalam darah meningkat.

Apabila paras gula di dalam darah meningkat, insulin akan dirembes dan merangsang sel-sel badan terutamanya hati, otot dan sel-sel lemak untuk menyerap gula yang terdapat dalam darah untuk disimpan sebagai sumber tenaga atau glikogen dan insulin akan bertindak untuk merencat pemecahan glikogen kepada gula di dalam hati ke dalam darah sehingga paras gula di dalam darah kembali normal.

4021357e 05c8 4d03 aa92 0074b080be61

Pakar yang juga Pensyarah Patologi (Patologi Kimia), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Aniza Mohammed Jelani berkata, kerintangan insulin ialah gangguan fungsi hormon insulin di mana berlaku kegagalan tisu-tisu badan untuk bertindak balas terhadap hormon ini.

“Ini menyebabkan gula tidak dapat diserap masuk ke dalam tisu untuk diproses dan seterusnya berlaku pengumpulan gula dalam darah pada kadar yang tinggi.

“Apabila keadaan ini berlaku, badan bertindak balas menghasilkan lebih banyak insulin daripada kebiasaan untuk meningkatkan kemasukan gula ke dalam tisu.

“Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, paras insulin yang banyak ini tidak lagi mampu menampung jumlah gula dalam darah dan menyebabkan berlakunya hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah),” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Aniza, sekiranya masalah kerintangan insulin tidak dikawal atau diatasi, seseorang individu itu akan terdedah kepada risiko mendapat penyakit diabetes mellitus.

“Pengetahuan tentang kerintangan insulin adalah sangat penting memandangkan pada masa kini semakin ramai masyarakat kita menghadapi masalah ini.

“Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2022 menunjukkan kadar prevalens kerintangan insulin dalam kalangan rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 50.4 peratus (%),” jelasnya lagi.

Aniza berkata, kerintangan insulin berpunca daripada faktor persekitaran seperti gaya hidup, aktiviti seharian dan pemakanan selain turut disebabkan oleh faktor genetik tertentu.

“Terdapat beberapa golongan individu yang berisiko mendapat kerintangan insulin iaitu golongan obesiti yang mempunyai berat badan berlebihan, gaya hidup yang sedentari dan tidak aktif melakukan senaman, pengamal pemakanan yang tidak sihat dengan mengambil makanan yang manis dan tinggi kandungan karbohidrat, faktor genetik yang mempengaruhi kewujudan kerintangan insulin dan penghidap penyakit ‘polycystic ovarian syndrome’, katanya.

Aniza turut menjelaskan bahawa selain penyakit diabetes mellitus, kerintangan insulin mempunyai perkaitan rapat dengan pelbagai masalah kesihatan lain.

“Ini kerana selain fungsi utama insulin dalam mengawal paras gula darah, ia juga mempunyai beberapa fungsi lain antaranya metabolisma lemak, mengawal fungsi salur darah, mengawal penyimpanan dan penghasilan tenaga oleh otot dan hati serta mempengaruhi fungsi organ lain seperti buah pinggang, jantung, mata dan lain-lain.

“Gangguan dalam fungsi insulin atau kerintangan insulin akan berkait rapat dengan masalah dislipidaemia (kandungan lemak darah yang tinggi), penyakit kardiovaskular, paras asid urik yang tinggi, gangguan inflamasi dan sebagainya,” ulasnya lanjut.

Aniza turut memberitahu bahawa kerintangan insulin boleh diatasi melalui pengawalan berat badan yang ideal iaitu sebanyak lima (5) hingga tujuh (7) peratus daripada berat badan asal berkesan mengatasi masalah kerintangan insulin serta mengelak risiko mendapat diabetes mellitus.

“Pengambilan makanan seimbang dengan mengutamakan serat atau sayur-sayuran diikuti nutrien penting seperti sumber protein sihat, karbohirat, oat serta roti bergandum penuh untuk mengelak pengambilan makanan manis serta makanan tinggi lemak dan kandungan garam.

“Di samping itu, amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti harian yang aktif serta melakukan senaman berkala sangat berkesan dalam mengatasi masalah kerintangan insulin,” katanya.

Teks : Marlina Zahari / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 1652