Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KETULAN DI LEHER: JANGAN PANDANG REMEH, LAKUKAN PEMERIKSAAN AWAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Oktober 2025 - Ketulan di leher berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor sama ada yang tidak berbahaya atau yang memerlukan perhatian perubatan segera. Dalam kebanyakan kes, ketulan ini bersifat sementara dan akan mengecil apabila jangkitan sembuh.

Walau bagaimanapun, sekiranya ketulan yang tidak surut selepas dua (2) minggu, keras, tidak sakit dan tidak bergerak apabila ditekan, maka ia perlu diberi perhatian serius. Oleh itu, penting untuk seseorang memerhatikan perubahan pada ketulan di leher dan tidak mengambil mudah sekiranya ia berlarutan atau menunjukkan tanda-tanda mencurigakan.

Pemeriksaan awal oleh doktor dapat membantu mengenal pasti punca sebenar dan seterusnya menentukan rawatan yang sesuai untuk mengelakkan komplikasi lebih serius.

IMG-20251019-WA0038

Pakar Patologi dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Anani Aila Mat Zin berkata, sitopatologi adalah salah satu cara untuk mengenal pasti sesuatu ketulan berbahaya atau tidak.

“Ia merupakan kajian sel untuk mengenal pasti penyakit terutama dalam kes ketulan di leher melalui ujian seperti ‘fine needle aspiration cytology’ (FNAC).

“Ujian FNAC dilakukan bertujuan mengesan sel radang yang menunjukkan jangkitan seperti nanah, tuberkulosis atau ‘mononucleosis’ selain digunakan untuk mengesan sel benign yang tidak agresif seperti lipoma (lemak) atau sista yang biasanya tidak berbahaya.

“Ujian ini juga mampu mengesan sel malignan yang menunjukkan kemungkinan kanser seperti limfoma dan kanser tiroid,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Menurut Anani Aila, seseorang individu perlu merasa risau jika terdapat tanda-tanda ketulan yang sepatutnya diberikan perhatian segera.

“Antara tandanya adalah seperti ketulan keras, tidak sakit dan tidak bergerak apabila ditekan, tidak surut lebih daripada dua (2) minggu dan disertai simptom seperti demam, penurunan berat badan, kesukaran menelan dan ketulan membesar secara berterusan.

“Selain itu, ketulan yang bersifat pegun dan tidak menyakitkan lebih mencurigakan dari sudut sitopatologi kerana ia mungkin menunjukkan pertumbuhan sel abnormal atau kanser.

“Punca umum wujudnya ketulan di leher adalah disebabkan nod limfa yang membengkak, masalah tiroid, ketumbuhan tidak bahaya dan kanser,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil sekiranya terdapat ketulan di leher iaitu berjumpa doktor dengan segera untuk pemeriksaan fizikal, lakukan ujian FNAC atau biopsi dan lakukan imbasan ‘ultrasound’ atau ‘CT scan’ jika perlu untuk melihat struktur dalaman.

“FNAC sangat penting dalam penilaian awal ketulan di leher kerana ia boleh memberi petunjuk awal sama ada ketulan itu berbahaya atau tidak serta membantu doktor merancang rawatan lanjut seperti pembedahan, radioterapi atau ubat.

“FNAC merupakan prosedur ringkas menggunakan jarum halus untuk menyedut sampel dari ketulan tanpa pembedahan dan keputusannya diperoleh dalam beberapa hari sahaja,” jelasnya.

Tambah Anani Aila, laporan sel FNAC akan memberi gambaran tentang jenis sel yang diambil daripada ketulan dan ia biasanya dikategorikan dari sistem Bethesda iaitu lima (5) kategori dari C1 hingga C5.

“Kategori C1 dan C3 biasanya memerlukan pengambilan semula sampel atau ujian tambahan, kategori C2 menunjukkan ketulan tersebut kemungkinan tidak berbahaya manakala kategori C4 dan C5 memerlukan tindakan lanjut seperti biopsi, imbasan atau rawatan onkologi.

“Laporan FNAC bukan diagnosis muktamad, tetapi hanya penilaian awal. Ia perlu digabungkan dengan dengan penilaian klinikal dan radiologi untuk keputusan yang lebih tepat,” katanya.

Anani Aila turut menasihatkan pesakit yang menerima laporan FNAC dan tidak pasti maksudnya supaya berjumpa doktor atau pakar patologi untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan langkah seterusnya yang perlu diambil berdasarkan laporan tersebut.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 217