KHUSYUK MAKAN BANTU AMALKAN DIET SEIMBANG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Februari 2025 – Konsep ‘mindful eating’ atau khusyuk makan adalah salah satu pendekatan untuk membantu mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup sihat.
Teknik ini menekankan kesedaran ketika makan bagi mengelak tabiat pemakanan tidak sihat yang boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti dan tekanan.
Pensyarah Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, NurZetty Sofia Zainuddin berkata, ‘mindful eating’ adalah memberi perhatian dan fokus sepenuhnya terhadap pemikiran, emosi dan fizikal yang dialami semasa makan.
“Apabila kita makan secara sedar atau khusyuk bermakna kita menggunakan kesemua sensori fizikal dan emosi untuk merasai pengalaman dan menikmati makanan yang kita pilih.
“Secara tidak langsung, kita dapat mengawasi tabiat pemakanan sama ada mengambil makanan sihat ataupun sebaliknya.
“Dengan mengamalkan kaedah ini juga, individu akan lebih peka terhadap jenis dan jumlah makanan yang diambil sekaligus membantu mereka membuat pilihan makanan yang lebih sihat,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2024 dalam kalangan guru sekolah menengah di Kota Bharu mendapati guru yang mengamalkan ‘mindful eating’ cenderung mempunyai tahap tekanan atau 'stress' yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak mengamalkannya.
“Kajian yang melibatkan 350 guru daripada 15 buah sekolah itu juga mendapati bahawa kesibukan jadual harian menyebabkan ramai guru makan secara tergesa-gesa atau menggabungkan sarapan dan makan tengah hari dalam satu hidangan (brunch) yang sering kali menyebabkan pemilihan makanan kurang sihat.
“Konsep ‘mindful eating’ juga bukan sahaja dapat membantu mengawal berat badan, tetapi juga mengurangkan risiko masalah kesihatan berkaitan tekanan seperti penyakit jantung dan diabetes,” jelasnya lagi.
NurZetty menyarankan agar masyarakat mengamalkan kaedah ini dengan beberapa langkah mudah termasuk merancang waktu dan jenis makanan yang akan dimakan, mengelakkan gangguan seperti penggunaan telefon pintar semasa makan serta menikmati makanan dengan perlahan untuk lebih menghargai rasa dan teksturnya.
“Di samping itu, konsep Pinggan Sihat Malaysia – Suku-Suku Separuh turut disarankan bagi membantu dalam pemilihan makanan seimbang.
“Kaedah ini menyarankan suku pinggan diisi dengan karbohidrat seperti nasi atau roti, suku lagi dengan protein seperti ikan atau ayam, manakala separuh pinggan terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan,” ujarnya.
NurZetty turut berharap agar lebih ramai masyarakat mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan berkhasiat bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 147