Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KOMPLIKASI KELAHIRAN: RAWATAN SEGERA PENTING, ELAK TRAUMA SEPANJANG HAYAT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Jun 2025 – Komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran boleh memberi kesan mendalam kepada kehidupan wanita, malah dalam kes tertentu boleh membawa maut sekiranya tidak ditangani segera.

Kejadian hampir meninggal maternal atau ‘maternal near miss’ merujuk kepada situasi di mana wanita mengalami komplikasi serius ketika hamil, bersalin atau dalam tempoh 42 hari selepas penamatan kehamilan tetapi berjaya diselamatkan dengan rawatan segera.

1000146998

Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Datin Dr. Norhayati Mohd Noor berkata, komplikasi ini boleh meninggalkan kesan jangka panjang kepada kesihatan fizikal, mental dan fungsi sosial ibu.

“Walaupun kadar kematian ibu telah menurun di Malaysia, masih ramai wanita mengalami komplikasi seperti pendarahan postpartum, eklampsia dan sepsis.

"Mereka terselamat, tetapi dengan kesan sampingan yang besar terhadap kehidupan mereka,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Norhayati, morbiditi maternal yang teruk merujuk kepada keadaan yang berisiko mengancam nyawa semasa kehamilan, kelahiran atau selepas penamatan kehamilan yang boleh membawa kepada kes hampir meninggal maternal seperti pendarahan obstetrik yang teruk, hipertensif dan masalah sistemik lain yang memerlukan rawatan intensif seperti pemindahan darah, rawatan di wad Intensif Care Unit (ICU) dan pembedahan kecemasan.

“Bagi setiap satu (1) kematian ibu, terdapat 30 hingga 100 wanita lain yang mengalami situasi hampir meninggal dunia seperti ini.

"Dengan mengkaji kes-kes ini, kita boleh memperbaiki sistem kesihatan wanita secara menyeluruh.

“Tiga (3) punca utama kejadian ‘maternal near miss’ ialah disebabkan pendarahan postpartum, eklampsia dan sepsis, yang memerlukan rawatan segera kerana kelewatan walaupun beberapa minit boleh membawa maut,” jelasnya lagi.

Norhayati berkata, pendarahan postpartum sering berlaku apabila rahim gagal mengecut dengan baik manakala eklampsia pula melibatkan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal sehingga menyebabkan sawan dan kerosakan organ.

“Sepsis merujuk kepada jangkitan yang merebak ke seluruh badan dan boleh menyebabkan kegagalan organ dalam masa yang sangat singkat sekiranya tidak dirawat segera.

“Kesan komplikasi ini tidak terhad kepada fizikal sahaja, malah wanita boleh mengalami trauma mendalam seperti kemurungan ‘postpartum’, ‘Post-Traumatic Stress Disorder’ (PTSD) dan ini boleh menyebabkan rasa takut untuk hamil semula,” ujarnya.

Norhayati menjelaskan bahawa daripada aspek sosial, trauma ini boleh menjejaskan hubungan suami isteri dan peranan ibu dalam keluarga kerana rasa rendah diri, stigma serta keletihan berpanjangan.

“Saya mencadangkan beberapa langkah sokongan seperti saringan kesihatan mental, kaunseling, kumpulan sokongan ibu dan pendidikan kepada suami serta keluarga agar pemulihan dapat dilaksanakan secara holistik kepada mereka.

“Saringan menggunakan ‘Edinburgh Postnatal Depression Scale’ (EPDS) perlu dilakukan di klinik ibu dan anak, selain mewujudkan perkhidmatan kaunseling dan kumpulan sokongan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, latihan ‘Trauma-Informed Care’ kepada petugas kesihatan juga penting agar wanita yang mengalami trauma dapat dirawat dengan empati tanpa menyalahkan mereka.

"Pencegahan pula melibatkan penjagaan antenatal berkualiti, pendidikan awal mengenai tanda bahaya kehamilan, perancangan tempat bersalin serta sokongan komuniti yang responsif.

“Keselamatan ibu bukan hanya bergantung kepada sistem kesihatan tetapi juga bergantung kepada sokongan dan kesedaran masyarakat sekeliling.

"Dengan tindakan awal, banyak komplikasi dapat dicegah,” tegasnya lagi.

Beliau menyeru semua pihak agar memastikan setiap ibu mendapat rawatan berkualiti, tepat pada masanya dan menyeluruh sepanjang tempoh kehamilan hingga selepas bersalin.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 28