Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MALARIA KEKAL BERBAHAYA: LANGKAH PENCEGAHAN MASIH RELEVAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Oktober 2025 – Malaria ialah penyakit berjangkit berbahaya yang masih menjadi ancaman kesihatan awam dunia walaupun telah dikenali sejak ribuan tahun lalu.

Penyakit ini berpunca daripada parasit plasmodium yang disebarkan melalui gigitan nyamuk ‘Anopheles’ betina dan boleh menyebabkan demam berulang, menggigil, sakit kepala, muntah, malah membawa maut sekiranya tidak dirawat.

1000190529

Setiap tahun, lebih 200 juta kes malaria dilaporkan di seluruh dunia dengan ratusan ribu kematian yang kebanyakannya melibatkan kanak-kanak di Afrika Sub-Sahara.

Walaupun dengan kemajuan ubat-ubatan dan kawalan vektor, malaria tidak pernah benar-benar hilang. Ia dianggap sebagai penyakit lama kerana telah wujud sejak zaman kuno, dengan catatan penyakit seumpamanya ditemui sejak lebih 4,000 tahun lalu di Mesir purba.

Di Malaysia, usaha berterusan melalui program kawalan vektor, rawatan awal dan kesedaran masyarakat berjaya menurunkan kes malaria manusia seperti ‘P. falciparum’ dan ‘P. vivax’, sehingga negara ini pernah diiktiraf bebas malaria manusia pada tahun 2018.

Namun, cabaran baharu muncul dengan malaria zoonotik ‘P. knowlesi’, iaitu parasit yang berpunca daripada monyet dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. Kes sebegini banyak berlaku di Sabah dan Sarawak, selain risiko kes import dari negara jiran yang masih wujud.

Pensyarah Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurhidanatasha Abu Bakar, berkata, malaria kini semakin kompleks kerana cabarannya bukan sahaja berkait dengan rawatan dan kawalan nyamuk.

"Ia dipengaruhi oleh perubahan iklim, rintangan ubat anti malaria, kekebalan nyamuk terhadap racun serangga serta mobiliti manusia yang boleh membawa kes dari negara endemik.

“Di samping itu, malaria zoonotik yang unik di rantau Asia Tenggara menjadikan situasi di Malaysia lebih mencabar berbanding negara lain.

“Rawatan utama masa kini ialah terapi kombinasi berasaskan artemisinin (ACT) yang sangat berkesan terhadap ‘P. falciparum’," katanya ketika temu bual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.

Menurut Nurhidanatasha, parasit malaria mula menunjukkan tanda rintangan terhadap ubat, manakala penggunaan racun serangga berulang kali pula menyebabkan nyamuk semakin kebal.

Beliau turut menjelaskan aspek pencegahan, vaksin seperti RTS,S/AS01 dan R21/Matrix-M menunjukkan potensi, tetapi perlindungan yang diberi tidak menyeluruh.

“Justeru, langkah perlindungan diri masih penting, termasuk memakai pakaian cerah berlengan panjang, menggunakan repelan serangga, tidur di bawah kelambu berinsektisida, mengelakkan aktiviti luar pada waktu senja hingga subuh serta mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya mengalami demam selepas pulang dari kawasan berisiko.

“Walaupun malaria dikenali sebagai penyakit lama, cabaran baharu yang kita hadapi kini sangat nyata dan serius kerana penyakit ini masih boleh membawa maut.

“Namun dengan gabungan sains, teknologi dan kerjasama komuniti, kita mampu mengawal dan akhirnya membasminya, " tegasnya lagi.

Beliau turut berharap agar lebih banyak inovasi seperti vaksin yang lebih berkesan, kaedah kawalan nyamuk mesra alam serta penyelidikan berterusan dapat direalisasikan demi memastikan malaria benar-benar dapat dihapuskan pada masa hadapan.

Teks: Rosalwani Che Soh / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 1001