MASALAH PENDENGARAN: SARINGAN AWAL KELAHIRAN BANTU PERKEMBANGAN PERTUTURAN KANAK-KANAK
USM, KUBANG KERIAN, 8 Julai 2023 – Pendengaran merupakan salah satu deria penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Deria pendengaran membolehkan seseorang mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi di persekitaran dan bunyi pertuturan.
Sekiranya bayi lahir dengan masalah pendengaran, perkembangan bahasa dan pertuturannya boleh terjejas atau terbantut sama sekali.
Tempoh kritikal bagi perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah dari sejak lahir sehingga tiga (3) tahun yang pertama.
Menurut Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi), Unit Audiologi dan Patologi Pertuturan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Syazana Mohd Zainudin, saringan pendengaran bayi adalah ujian asas yang dilakukan ke atas bayi baru lahir untuk mengesan bayi yang mempunyai masalah pendengaran.
“Terdapat dua (2) jenis saringan pendengaran bayi iaitu saringan pendengaran berisiko tinggi ke atas bayi yang lahir dengan komplikasi kesihatan dan saringan pendengaran universal iaitu saringan yang dilakukan kepada semua bayi yang lahir di Malaysia yang juga dikenali sebagai 'Universal Neonatal Hearing Sceening' (UNHS).
“Ujian ini sebenarnya bukan perkara baharu, ia mula dilaksanakan pada sekitar tahun 2001. Sekarang ini ia telah diperkemas semula oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih menyeluruh di mana kemudahan saringan ini disediakan oleh hampir kesemua hospital kerajaan dan swasta termasuk di Hospital USM,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Nur Syazana, punca utama masalah pendengaran boleh diklasifikasikan kepada dua (2) iaitu masalah pendengaran yang wujud sejak lahir atau dikenali sebagai 'Congenital Hearing Loss' dan masalah pendengaran yang berlaku selepas waktu kelahiran iaitu dalam tempoh perkembangan bayi dikenali sebagai 'Acquired Hearing Loss'.
“Antara punca masalah pendengaran di Malaysia termasuk faktor genetik, jangkitan telinga, kecederaan kepala atau telinga, terdedah kepada bunyi bising berlebihan dan masalah kesihatan yang lain.
"Ia juga boleh terjadi tanpa diketahui puncanya,” jelasnya lagi.
Nur Syazana turut menerangkan bahawa data terkini UNHS di hospital KKM melaporkan empat (4) daripada 1,000 bayi dikenal pasti mengalami masalah pendengaran jenis kekal.
"Angka tersebut bagaimanapun hanya berpandukan 62 peratus (%) daripada jumlah bayi yang menjalani saringan pendengaran ketika ini.
“Sehubungan itu, KKM menyasarkan peningkatan penyertaan UNHS dalam kalangan bayi di negara ini dengan lebih menyeluruh untuk pengesanan awal masalah pendengaran.
“Hal ini supaya rawatan dan rehabilitasi yang bersesuaian dapat dimulakan seawal yang boleh supaya perkembangan bayi tidak terganggu atau terbantut terutamanya untuk perkembangan bahasa, pertuturan dan sosial," ujarnya.
Nur Syazana berkata, pekak dan bisu sangat sinonim dalam masyarakat dan dengan rawatan awal kita mahu mengubah persepsi itu kepada orang yang pekak juga boleh bercakap.
"Ujian saringan pendengaran kebiasaannya dilakukan sebelum bayi dibenarkan pulang ke rumah atau discaj.
"Ini adalah bertujuan untuk memastikan keputusan ujian tidak dipengaruhi oleh salur telinga bayi yang dipenuhi vernix," ulasnya lanjut.
Menurut Nur Syazana lagi, ujian saringan pendengaran merupakan kaedah yang selamat, mudah, dan sangat cepat untuk dilakukan.
"Ia hanya memerlukan bayi yang berada dalam keadaan tenang, ruang yang senyap dengan penggunaan mesin ujian.
“Terdapat dua (2) jenis mesin untuk ujian saringan pendengaran yang boleh dilakukan ke atas bayi iaitu mesin ujian 'Otoacoustic Emission' (OAE) dan 'Automated Auditory Brainstem Response' (AABR).
“OAE akan digunakan untuk saringan pertama dan sekiranya tidak lulus, ibu bapa akan diberi temujanji susulan dalam tempoh sebulan untuk ujian saringan kedua menggunakan mesin AABR," katanya.
Beliau berkata, sekiranya saringan kedua juga gagal, temujanji untuk ujian diagnostik lebih terperinci akan diberikan untuk mengetahui status pendengaran sebenar bayi.
“Garis panduan yang diguna pakai ialah 1, 3, 6 iaitu saringan seawal satu (1) bulan, ujian diagnostik seawal tiga (3) bulan dan rawatan atau pemulihan sebelum berumur enam (6) bulan.
“Bagi proses rawatan ini, Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) akan bergabung dengan pakar – pakar lain seperti pakar dari Jabatan Otorinolaringologi (ORL) dan Terapis Pertuturan,” jelasnya lagi.
Nur Syazana turut menasihati ibu bapa agar lebih peka dengan pendengaran dan perkembangan anak-anak terutamanya apabila anak tidak memberi respon kepada bunyi atau lambat bercakap bagi mengelak kelewatan mendapatkan rawatan.
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 946