Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MATA PALSU: SOLUSI SELEPAS KEHILANGAN BEBOLA MATA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Januari 2026 – Kehilangan bebola mata bukan sekadar menjejaskan penglihatan, malah memberi kesan besar terhadap penampilan wajah, keyakinan diri serta kesejahteraan emosi seseorang.

Keadaan ini boleh berlaku akibat pelbagai faktor seperti penyakit kanser, kecederaan serius, jangkitan teruk atau pembedahan tertentu yang terpaksa dilakukan demi menyelamatkan nyawa pesakit.

1000215801

Pakar Pergigian Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nor Aidaniza Abdul Muttlib berkata, mata palsu atau ‘ocular prosthesis’ merupakan satu kaedah rehabilitasi penting bagi membantu individu yang kehilangan bebola mata menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

“Walaupun mata palsu tidak berupaya mengembalikan fungsi penglihatan, penggunaannya berperanan penting dalam memulihkan estetika wajah serta membantu pesakit meningkatkan keyakinan diri, sekali gus memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi dan interaksi sosial.

“Mata palsu diperbuat daripada bahan akrilik yang sama digunakan dalam pembuatan gigi palsu dan selamat untuk tisu sekitar mata. Namun, dari segi jangka panjang, warnanya boleh berubah selepas dua (2) hingga tiga (3) tahun dan perlu diganti bagi mengekalkan aspek estetik,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Nor Aidaniza berkata, berbeza dengan tanggapan umum, mata palsu bukanlah berbentuk bulat seperti bola. Sebaliknya, bentuknya dihasilkan secara khusus mengikut keadaan dan struktur soket mata setiap pesakit.

"Bagi pesakit yang mempunyai implan orbital, mata palsu biasanya lebih nipis dan melengkung mengikut bentuk implan, manakala pesakit tanpa implan memerlukan mata palsu yang lebih tebal bagi memastikan keseimbangan dengan mata sebelah lagi.

"Kehilangan mata boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia termasuk kanak-kanak," jelasnya lagi.

Menurut Nor Aidaniza, rawatan mata palsu perlu disesuaikan mengikut keperluan individu termasuk kanak-kanak yang memerlukan pemantauan lebih kerap kerana prostesis perlu diganti selaras dengan proses tumbesaran, manakala bagi orang dewasa, penukaran biasanya dilakukan apabila berlaku perubahan warna atau kelonggaran.

"Dari segi rawatan, proses pembuatan mata palsu bermula dengan pemeriksaan oleh pakar mata sebelum pesakit dirujuk kepada pakar pergigian prostodontik.

"Lazimnya, pembuatan mata palsu hanya dilakukan selepas tempoh pemulihan antara enam (6) hingga lapan (8) minggu bagi memastikan tisu soket mata benar-benar sembuh.

“Proses ini biasanya mengambil tiga (3) hingga empat (4) sesi janji temu dan tidak melibatkan rawatan invasif atau menyakitkan," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tidak semua pesakit memerlukan pemasangan implan orbital, namun ia sangat membantu dari segi sokongan dan pergerakan mata palsu yang kelihatan lebih semula jadi.

"Tanpa implan, mata palsu mungkin menjadi lebih berat dan berisiko menyebabkan kelopak mata kendur dalam jangka panjang," terangnya lanjut.

Nor Aidaniza turut menasihatkan dan menyeru orang ramai agar mementingkan penjagaan mata palsu yang perlu sentiasa dibersihkan menggunakan air bersih dan tidak dibiarkan kering jika dikeluarkan daripada soket mata.

“Ia boleh dipakai sepanjang masa termasuk ketika tidur, namun pesakit yang tidak dapat menutup mata sepenuhnya dinasihatkan memakai penutup mata bagi mengelakkan kekeringan.

“Selain aspek fizikal, cabaran utama selepas pemakaian mata palsu ialah penyesuaian emosi, sokongan keluarga serta kaunseling amat penting bagi membantu pesakit menerima keadaan baharu dan kembali menjalani kehidupan seharian dengan lebih yakin," katanya.

Di akhir temu bual, Nor Aidaniza turut memperkenalkan rawatan mata palsu yang terdapat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), melalui Klinik Pergigian Prostodontik.

"Pesakit yang berminat untuk mendapatkan rawatan mata palsu boleh hadir dengan surat rujukan daripada klinik atau hospital berdekatan dan rawatan adalah berdasarkan sistem janji temu.

"Untuk maklumat lanjut, pesakit boleh menghubungi Klinik Pergigian Prostodontik HPUSM di talian 09-7674313," jelasnya.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 82