MERUNGKAI KANSER PAYUDARA MELALUI KAJIAN MAKMAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Ogos 2025 – Kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap menyerang wanita bukan saja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Melihat kepada situasi ini, penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kajian makmal bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana kajian makmal memainkan peranan penting dalam memahami, mengesan dan merawat kanser payudara dengan lebih berkesan.
Kajian ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek rawatan tetapi juga cara pencegahan dan pengesanan awal yang boleh menjadi kunci utama untuk menyelamat lebih banyak nyawa.

Menurut Pensyarah Universiti, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM, Dr. Noor Fatmawati Mokhtar, pelbagai ujian telah dijalankan di makmal menggunakan peralatan khas untuk mengkaji gen dan protein dalam sel payudara.
“Kajian lazimnya bermula dengan membandingkan sel payudara normal dan sel kanser. Perbandingan ini penting untuk mengetahui perubahan yang berlaku pada peringkat molekul.
"Dalam sesetengah kes, gen tertentu menunjukkan tahap ekspresi yang berlebihan atau protein tertentu disintesis pada kadar yang jauh lebih tinggi dalam sel kanser berbanding sel normal.
“Perbezaan inilah yang boleh dijadikan petunjuk atau ‘biomarker’ yang membantu mengesan kanser lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.
Tambah beliau, gen merupakan ‘manual’ sel yang mengawal fungsi serta pembahagiannya dan sekiranya berlaku ralat dalam kod genetik, protein boleh rosak serta menyebabkan sel membiak tanpa kawalan lalu membentuk kanser.
"Perubahan pada gen atau protein yang dikesan melalui analisis makmal boleh berfungsi sebagai petunjuk untuk kanser payudara yang membantu dalam mengenal pasti individu berisiko tinggi serta membolehkan pemilihan rawatan yang lebih bersasar dan efektif.
“Namun, inisiatif penyelidikan ini bukan sekadar membuka jendela baharu dalam pemahaman tentang kanser payudara tetapi turut membuktikan komitmen USM dalam membawa sains terus kepada masyarakat demi kesihatan yang lebih baik untuk semua,” jelasnya lagi.
Noor Fatmawati berkata, selain mamogram yang sering digunakan dalam saringan kanser payudara, kini terdapat teknologi pengimejan lain seperti imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan ‘ultrasound 3D’ yang mampu memberikan gambaran yang lebih jelas dan terperinci.
"’Liquid biopsy’ atau biopsi cecair merupakan salah satu inovasi terkini dalam pengesanan kanser yang memungkinkan pengesanan awal neoplasma melalui analisis petunjuk dalam sampel darah tanpa keperluan untuk prosedur invasif tradisional.
“Melalui ujian ini, hanya dengan sampel darah sahaja tanda awal kanser dapat dikesan dan individu berisiko tinggi boleh dikenal pasti sebelum gejala muncul.
"Walau bagaimanapun, mamogram masih dianggap sebagai kaedah utama dalam saringan kanser payudara,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa, biopsi cecair berpotensi untuk menjadi pelengkap yang signifikan dan berkemungkinan berkembang sebagai alternatif utama pada masa hadapan.
“Ini kerana kaedah ini lebih mudah, cepat dan kurang invasif sekali gus memberikan keselesaan yang lebih baik kepada pesakit,” katanya.
Menurut Noor Fatmawati, rawatan kanser kini semakin maju dengan kehadiran terapi sasaran (targeted therapy) dan imunoterapi yang lebih pintar kerana ia direka khusus untuk menyerang sel kanser sahaja tanpa merosakkan sel sihat.
"Meskipun tiada terapi yang sepenuhnya bebas daripada kesan sampingan, namun penambahbaikan berterusan telah ada dalam strategi rawatan yang membolehkan pengurangan insiden kesan tindak balas terhadap ubat seperti ‘alopecia’ atau keguguran rambut dan ‘emesis’ atau muntah.
“Rawatan baharu ini hadir dalam pelbagai jenis dengan keberkesanan dan kesan sampingan yang berbeza-beza bergantung kepada jenis kanser dan keadaan pesakit.
“Kajian makmal dan klinikal penting untuk menilai keberkesanan rawatan serta mengenal pasti kesan sampingan khususnya dalam konteks kepelbagaian genetik rakyat Malaysia agar rawatan yang diberi benar-benar sesuai dan berkesan,” ujarnya lagi.
Tambah Noor Fatmawati, pembangunan rawatan atau ubat biasanya mengambil masa 10 hingga 15 tahun kerana ia perlu melalui pelbagai ujian berulang bagi memastikan keselamatan dan keberkesanannya sebelum digunakan oleh pesakit.
“Selain itu, bagi memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh badan pengawal selia, kajian mendalam dan tempoh penilaian yang lebih lama juga diperlukan.
“Langkah ini sangat penting kerana ia bukan sahaja menjamin keselamatan dan keberkesanan rawatan, malah membantu meningkatkan keyakinan pesakit terhadap ubat atau terapi yang dibangunkan.
“Ini selari dengan hasrat USM untuk terus berada di hadapan dalam bidang penyelidikan kesihatan yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” ulasnya lanjut.
Teks: Marlina Zahari/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 153