Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PARUT DI KULIT, LUKA DI JIWA BONGKAR REALITI KESIHATAN MENTAL REMAJA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Jun 2026 – Tingkah laku mencederakan diri dalam kalangan remaja merupakan satu isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada ibu bapa, guru serta masyarakat.

Masyarakat juga perlu memahami bahawa perbuatan mencederakan diri bukan sekadar tingkah laku negatif atau usaha mencari perhatian, sebaliknya merupakan manifestasi kepada kesakitan emosi yang sedang dialami oleh remaja.

Pakar Perunding Psikiatri yang juga Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Maruzairi Husain berkata, bukan sahaja kesan parut atau luka pada tubuh remaja perlu diberikan perhatian, malah luka emosi yang tersembunyi di sebalik tindakan tersebut juga perlu diambil kira.

“Ramai remaja yang berhadapan dengan tekanan hidup, konflik keluarga, masalah akademik, buli siber atau kemurungan tidak mempunyai kemahiran untuk meluahkan perasaan mereka secara sihat, lalu memilih untuk mencederakan diri sebagai jalan keluar sementara daripada kesakitan emosi yang dialami.

“Tindakan mencederakan diri sering menjadi simbolik kepada pelbagai keadaan psikologi termasuk usaha menukarkan kesakitan emosi kepada kesakitan fizikal, menghukum diri sendiri, mendapatkan semula rasa kawalan terhadap kehidupan serta sebagai bentuk komunikasi tanpa suara untuk mendapatkan bantuan”, katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Dalam pada itu, Maruzairi menasihatkan ibu bapa dan guru supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku remaja yang mungkin menjadi petunjuk awal kepada masalah tersebut.

“Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan cara berpakaian secara mendadak seperti memakai pakaian berlengan panjang walaupun dalam cuaca panas, kecenderungan mengasingkan diri, perubahan emosi yang ketara serta kewujudan luka yang mencurigakan dengan alasan kecederaan yang tidak konsisten,” terangnya.

Mengulas mengenai peranan orang dewasa dalam membantu remaja yang terlibat, beliau menegaskan bahawa reaksi awal yang diberikan amat penting bagi memastikan remaja tidak terus menjauhkan diri.

“Ibu bapa dan guru perlu mengelakkan sikap menghukum atau memarahi remaja apabila mengetahui mereka mencederakan diri.

“Berikan ruang untuk mereka bercakap, dengar dengan penuh empati dan tunjukkan bahawa kita sentiasa bersedia untuk membantu,” ujarnya lagi.

Maruzairi turut menggalakkan ibu bapa mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor, pegawai psikologi atau pakar psikiatri sekiranya mendapati anak-anak menunjukkan tanda-tanda mencederakan diri atau mengalami tekanan emosi yang serius.

Mengakhiri perkongsian, beliau menyeru semua pihak agar memainkan peranan sebagai pelindung yang membantu merawat luka jiwa remaja, bukannya menjadi hakim yang hanya menilai parut yang kelihatan pada tubuh mereka.

“Remaja yang mencederakan diri sebenarnya tidak mahu mati, sebaliknya mereka sedang berusaha untuk menghentikan kesakitan emosi yang tidak tertanggung.

“Mereka memerlukan sokongan, pemahaman dan bantuan daripada orang dewasa yang prihatin,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 114