Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENYAKIT GUSI: PUNCA KEHILANGAN GIGI JIKA TIDAK DIRAWAT AWAL

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Mac 2026 – Penyakit gusi merupakan antara masalah kesihatan mulut yang paling kerap berlaku dalam kalangan masyarakat dan boleh membawa kepada kehilangan gigi sekiranya tidak dirawat pada peringkat awal.

Pakar Pergigian Periodontik dan Pensyarah, Program Periodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurul Wahida Mohd Hasan, berkata, penyakit gusi ialah jangkitan pada tisu lembut dan tulang yang menyokong gigi berpunca daripada pengumpulan plak bakteria pada permukaan gigi.

“Pada peringkat awal, penyakit ini dikenali sebagai gingivitis iaitu keadaan di mana gusi menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah ketika memberus gigi.

“Sekiranya tidak dirawat, keadaan ini boleh berkembang menjadi periodontitis yang lebih serius dan akhirnya menyebabkan gigi menjadi longgar atau tercabut sendiri,” jelasnya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

1000234170

Nurul Wahida berkata, penyakit gusi sering tidak menyebabkan kesakitan pada peringkat awal menyebabkan ramai pesakit tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalaminya.

"Keadaan ini menyebabkan pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit telah mencapai tahap yang lebih serius dan menjejaskan struktur sokongan gigi.

“Antara tanda awal penyakit gusi ialah gusi mudah berdarah ketika memberus gigi, gusi kelihatan merah dan membengkak, nafas berbau yang berterusan serta rasa tidak selesa ketika mengunyah.

“Selain itu, gusi juga boleh menjadi sensitif dan pesakit mungkin merasakan perubahan kecil pada kedudukan gigi,” katanya lagi.

Tambahnya, ramai individu menganggap pendarahan gusi sebagai perkara biasa sedangkan ia sebenarnya merupakan tanda awal jangkitan yang memerlukan perhatian.

“Seseorang itu perlu berjumpa doktor gigi sekiranya simptom tersebut berlarutan lebih daripada seminggu, semakin teruk atau disertai dengan gigi semakin longgar dan sakit.

“Pemeriksaan awal sangat penting kerana rawatan pada peringkat awal dapat mencegah komplikasi yang lebih serius termasuk kerosakan tulang yang menyokong gigi,” ujarnya.

Nurul Wahida turut menjelaskan bahawa faktor utama yang menyumbang kepada penyakit gusi ialah kebersihan mulut yang kurang baik seperti tidak memberus gigi dengan berkesan, tidak menggunakan benang gigi dan tidak menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala.

Selain itu, menurut Nurul Wahida, tabiat merokok terutamanya rokok tembakau dan rokok elektronik juga boleh meningkatkan risiko penyakit gusi kerana ia melemahkan sistem pertahanan badan serta melambatkan proses penyembuhan tisu gusi.

“Penyakit kronik seperti diabetes juga boleh meningkatkan risiko jangkitan gusi terutamanya jika paras gula dalam darah tidak terkawal.

“Keadaan ini boleh melambatkan proses penyembuhan selepas rawatan gusi dan menjadikan jangkitan lebih sukar dikawal,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perubahan hormon seperti semasa kehamilan, tekanan emosi, pemakanan yang tidak seimbang serta pengambilan gula berlebihan juga boleh menyumbang kepada perkembangan penyakit gusi.

“Jika penyakit gusi tidak dirawat, bakteria akan terus menyerang tisu dan tulang yang menyokong gigi sehingga menyebabkan tulang alveolar menjadi semakin nipis dan rosak.

"Apabila sokongan tulang ini berkurang, gigi boleh menjadi longgar, berubah kedudukan dan sukar digunakan untuk mengunyah makanan.

“Dalam keadaan yang lebih teruk, gigi boleh gugur dengan sendiri atau perlu dicabut oleh doktor gigi,” jelasnya lanjut.

Nurul Wahida memberitahu lagi, kerosakan tulang alveolar yang telah berlaku tidak dapat dipulihkan sepenuhnya kecuali melalui rawatan khusus seperti pembedahan penambahan tulang yang menyokong gigi.

“Selain menyebabkan kehilangan gigi, jangkitan gusi juga boleh memberi kesan kepada kesihatan keseluruhan badan termasuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit seperti diabetes.

“Dalam bidang periodontik, penyakit periodontitis dinilai menggunakan konsep 'staging' dan 'grading' bagi menentukan tahap kerosakan tisu sokongan gigi serta kadar perkembangan penyakit.

"Melalui klasifikasi ini, doktor pakar gusi dapat merancang rawatan yang lebih tepat dan bersesuaian mengikut tahap penyakit yang dialami oleh setiap pesakit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa langkah pencegahan merupakan kaedah terbaik untuk mengekalkan kesihatan gusi.

“Antara langkah penting ialah memberus gigi sekurang-kurangnya dua (2) kali sehari menggunakan teknik yang betul, menggunakan berus gigi yang lembut serta ubat gigi berfluorida.

“Penggunaan benang gigi atau berus interdental juga penting untuk membersihkan kawasan di antara gigi yang sukar dicapai oleh berus gigi,” jelasnya lagi.

Beliau turut menyarankan agar masyarakat mengamalkan pemakanan seimbang, mengurangkan makanan dan minuman bergula serta mengelakkan tabiat merokok bagi mengurangkan risiko penyakit gusi.

"Pemeriksaan gigi secara berkala sekurang-kurangnya setiap enam (6) bulan membolehkan doktor mengesan masalah lebih awal dan memberikan rawatan yang sesuai.

"Dengan amalan kebersihan mulut yang baik dan pemeriksaan berkala, kesihatan gusi dapat dikekalkan sekali gus membantu mengekalkan senyuman yang sihat sepanjang hayat," terangnya.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 181