PENYAKIT METABOLIK: ANCAMAN SENYAP KESIHATAN MASYARAKAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2026 – Penyakit metabolik yang sering berlaku secara senyap kini semakin membimbangkan apabila prevalensnya terus meningkat dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pensyarah Perubatan Jabatan Penyakit Dalam,Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Nur Izat Muhamad, penyakit metabolik merupakan kumpulan gangguan kesihatan yang melibatkan ketidakseimbangan metabolisme badan, khususnya berkaitan pengawalan gula darah, lemak dan tekanan darah.
“Antara komponen utama penyakit ini termasuk rintangan insulin, obesiti abdominal, diabetes mellitus jenis 2, dislipidemia dan hipertensi.
“Perubahan gaya hidup moden seperti pengambilan makanan tinggi gula dan lemak, kurang aktiviti fizikal serta gangguan corak tidur telah menyumbang kepada peningkatan mendadak kes penyakit metabolik di seluruh dunia, termasuk di Malaysia,” ujar beliau ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Nur Izat, tanda-tanda awal penyakit metabolik sering berlaku secara perlahan dan senyap seperti peningkatan paras gula darah dan pengumpulan lemak di bahagian perut.
“Sekiranya tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal, penyakit metabolik boleh membawa kepada komplikasi serius seperti penyakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan penyakit hati berlemak.
“Oleh itu, saringan awal dan kesedaran terhadap tanda-tanda awal penyakit metabolik amat penting bagi membolehkan intervensi awal dilakukan dan risiko komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan,” jelasnya lagi.
Nur Izat berkata, statistik semasa menunjukkan lebih 28 peratus (%) penduduk dunia, bersamaan kira-kira 1.5 bilion manusia mengalami penyakit metabolik.
“Di Malaysia pula, prevalensnya mencecah 35.8%, iaitu lebih 8.5 juta rakyat, sekali gus menjadikan penyakit ini antara cabaran kesihatan awam utama negara.

“Sindrom metabolik dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan strok, khususnya dalam kalangan golongan dewasa berumur 30 tahun ke atas.
“Sindrom metabolik juga bukanlah satu penyakit tunggal, sebaliknya merupakan gabungan beberapa masalah kesihatan yang berlaku serentak, termasuk peningkatan paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi, ketidakseimbangan kolesterol serta pengumpulan lemak berlebihan di bahagian perut,” ulasnya.
Nur Izat turut menerangkan bahawa keadaan ini berlaku apabila badan gagal mengendalikan gula dan lemak dengan berkesan, menyebabkan lebihan tenaga disimpan sebagai lemak, terutamanya lemak dalaman atau ‘visceral fat’ yang mengelilingi organ penting seperti hati, jantung dan pankreas.
“Lemak ‘visceral’ ini sangat berbahaya kerana ia boleh mengganggu keseimbangan hormon, meningkatkan keradangan dalam badan serta menaikkan risiko penyakit kronik seperti serangan jantung dan strok,” jelas beliau.
Menurut Nur Izat, sindrom metabolik sering tidak disedari kerana ia berkembang secara perlahan tanpa gejala yang jelas.
“Antara tanda awal yang lazim dialami termasuk cepat mengantuk selepas makan, mudah penat, berat badan sukar diturunkan, lilitan pinggang bertambah serta kekerapan membuang air kecil.
“Ramai individu menganggap simptom tersebut sebagai kesan penuaan atau keletihan kerja, sedangkan ia merupakan isyarat awal badan yang memerlukan perhatian serius,” terangnya lanjut.
Bagi mengesan sindrom metabolik pada peringkat awal, Nur Izat berkata, pemeriksaan asas seperti ujian paras gula darah, kolesterol, tekanan darah dan pengukuran lilit pinggang sangat disarankan.
“Dalam sesetengah kes, ukuran lilit pinggang dianggap lebih signifikan berbanding berat badan kerana individu dengan berat badan normal juga boleh mempunyai risiko kesihatan yang tinggi jika lemak tertumpu di bahagian abdomen.
“Sindrom metabolik juga boleh dicegah dan dipulihkan sekiranya dikesan lebih awal melalui perubahan gaya hidup yang konsisten.
“Antara langkah yang disarankan termasuk pengurangan pengambilan gula, kawalan kuantiti karbohidrat, peningkatan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu serta memastikan waktu tidur yang mencukupi,” katanya lagi.Nur Izat turut menjelaskan bahawa perubahan kecil yang dilakukan secara berterusan mampu memberi kesan besar terhadap kesihatan metabolik.
“Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk lebih peka terhadap perubahan tubuh badan masing-masing dan tidak menunggu sehingga penyakit serius berlaku untuk mengambil tindakan lanjut,” ujarnya mengakhiri temu bual.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom
- Created on .
- Hits: 798