USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Julai 2023 – Kehamilan remaja adalah isu sosial yang kompleks dengan pelbagai dimensi dan cabaran serta ia merujuk kepada kejadian kehamilan dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 19 tahun.
Kehamilan remaja boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti perkahwinan bawah umur atau kebanyakannya disebabkan aktiviti seksual bebas dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Dianggarkan secara purata 4,000 remaja perempuan hamil bawah 18 tahun dilaporkan setiap tahun berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pakar yang juga Pensyarah Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Engku Husna Engku Ismail berkata, kajian penduduk dan keluarga Malaysia yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2015 mendapati pengetahuan mengenai aspek seksualiti dan kesihatan reproduktif masih rendah dalam kalangan remaja di Malaysia.
“Kehamilan remaja berlaku apabila kurang pendidikan seksual kerana mereka tidak mengetahui kemungkinan akan mengandung sekiranya aktif seksual dengan teman lelaki dan risiko seksual termasuk jangkitan kelamin atau STD serta kurang kesedaran akses kepada alat merancang kehamilan disebabkan remaja masih mentah.
“Faktor lain melibatkan sosial dan budaya iaitu pengaruh rakan sebaya, media sosial yang bebas, pornografi dan pemakaian yang menjolok mata atau mengikut 'trend', kurang komunikasi dan sokongan keluarga terbuka termasuk pendidikan kesihatan seksual, penjagaan diri dan maruah juga antara penyebab berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja," katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.
Tambah Engku Husna, antara faktor lain yang turut menjadi punca berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja ialah aspek sosioekonomi yang melibatkan kemiskinan, keluarga berpecah-belah, keganasan rumah tangga, penderaan mental, fizikal, seksual dari keluarga dan rakan.
"Masalah yang terdapat pada kehamilan remaja yang berisiko kesihatan dengan komplikasi mengandung ialah kekurangan darah (anemia), perkembangan bayi terbantut semasa dalam kandungan, cacat, darah tinggi, kemurungan ibu, kelahiran pramatang, kelahiran yang sukar, bayi lemas, tumpah darah, jangkitan kuman dan kematian ibu.
"Bayi juga berpotensi dilahirkan kurang berat badan, lemas sewaktu kelahiran sehingga boleh mengakibatkan kematian.
"Bayi itu juga berisiko untuk tidak disayangi seperti kanak-kanak lain semasa proses tumbesaran di atas pelbagai faktor," ujarnya lagi.
Engku Husna berkata, aspek pencegahan sangat penting untuk mengelak kehamilan yang tidak dirancang atau jauhi seks bebas sebelum alam perkahwinan dengan menjaga maruah diri seeloknya.
Beliau berkata, bagi mengurangkan masalah kesihatan remaja ketika hamil, mereka perlu membuat pemeriksaan awal kandungan, perawatan kesihatan serta mendapat sokongan moral yang cukup sepanjang dan selepas kehamilan.
"Komunikasi terbuka dalam keluarga, sokongan moral untuk penjagaan bayi selepas kelahiran secara terperinci adalah penting sebagai pendokong remaja tersebut meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.
"Ibu bapa dinasihatkan untuk mengawasi tingkah laku anak-anak dan peka dengan persekitaran serta pergaulan mereka terutama apabila terdapat perubahan tingkah laku kerana mencegah kehamilan adalah lebih baik daripada merawat kehamilan yang tidak dirancang atau dijangka," ulasnya lanjut.
Teks : Marlina Zahari / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh