Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PUASA DAN KESIHATAN: PANDUAN UNTUK PESAKIT KRONIK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Mac 2025 – Berpuasa bukan sahaja merupakan ibadah wajib bagi umat Islam, malah ia turut memberi pelbagai manfaat kesihatan termasuk kawalan berat badan, pengurusan gula dalam darah serta memberi kesan positif terhadap kesihatan mental dan rohani.

1000121937

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nani Draman, puasa juga memberi manfaat kepada pesakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung. Namun, ia boleh menjadi cabaran sekiranya tiada persediaan yang rapi.

"Kajian menunjukkan bahawa 80 peratus (%) pesakit diabetes tetap berpuasa walaupun sebahagian daripada mereka tergolong dalam kumpulan yang diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa.

"Bagi pesakit kronik, persediaan menghadapi bulan puasa amat penting bagi mengelakkan risiko komplikasi.

“Cabaran utama bagi mereka adalah menyesuaikan diri dalam minggu pertama Ramadan. Contohnya ubat-ubatan untuk pesakit kencing manis perlu disesuaikan dosnya agar mereka dapat berpuasa dengan selamat," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Tambah beliau, antara cabaran utama bagi pesakit diabetes ialah hipoglisemia, iaitu keadaan di mana paras gula dalam darah turun terlalu rendah akibat pengambilan ubat atau insulin yang tidak disesuaikan sepanjang bulan puasa.

“Pesakit yang mengalami tanda-tanda hipoglisemia seperti berpeluh sejuk, pening, lemah, dan degupan jantung laju dinasihatkan agar segera berbuka.

"Jika dibiarkan, keadaan ini boleh menyebabkan kejang, koma atau tidak sedarkan diri serta membahayakan pesakit itu sendiri," ujarnya lagi.

Nani berkata, selain hipoglisemia, hiperglisemia juga menjadi cabaran apabila pesakit mengambil terlalu banyak makanan bergula ketika berbuka atau tidak mengambil ubat seperti yang disarankan.

"Jika paras gula dalam darah melebihi 16.7 mmol/L, pesakit perlu berbuka untuk mengelakkan risiko seperti kejutan hyperosmolar yang boleh membawa kepada komplikasi serius," katanya.

Menurut Nani, dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit boleh berlaku akibat kekurangan pengambilan air semasa sahur dan berbuka, terutama bagi pesakit dengan paras gula yang tinggi.

“Paras gula yang tinggi dalam darah (hiperglisemia) menyebabkan badan cuba menyingkirkan gula berlebihan melalui air kencing yang boleh mengakibatkan kekerapan kencing (poliuria) dan kehilangan cecair serta elektrolit penting seperti natrium dan kalium,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesihatan perlu diutamakan dan Islam membenarkan pesakit kronik untuk tidak berpuasa sekiranya ia boleh membahayakan diri mereka.

"Jaga kesihatan, patuhi nasihat perubatan dan ingat bahawa paras gula yang tinggi adalah racun kepada organ-organ kita. Sayangilah diri dan kesihatan anda," katanya lagi.

Nani turut menasihatkan pesakit kronik agar sentiasa memantau keadaan kesihatan mereka, mengikuti nasihat doktor serta mengawal pengambilan ubat dan makanan bagi memastikan mereka dapat berpuasa dengan selamat.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 54