RAMADAN: LANGKAH AWAL MENUJU HIDUP TANPA ROKOK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Februari 2026 – Ramadan boleh dijadikan peluang untuk mula berhenti merokok dengan menumpukan kepada cabaran ketagihan nikotin dan pentingnya sokongan daripada keluarga serta masyarakat untuk hidup lebih sihat.
Dalam konteks ini, istilah merokok bukan hanya menghisap rokok konvensional tetapi juga merangkumi rokok elektronik atau ‘vape’ serta produk tembakau yang lain kerana kedua-duanya berkait dengan ketagihan nikotin dan memberi impak terhadap kesihatan.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga yang juga Penyelaras Klinik Berhenti Merokok, Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Nur Suhaila Idris, dapatan daripada Tinjauan Data Mobiditi Kesihatan (NHMS) 2023 menunjukkan prevalens perokok tembakau dalam kalangan dewasa di Malaysia menunjukkan penurunan kepada 19 peratus (%) berbanding 21.3% yang direkodkan NHMS 2019, namun ia masih belum mencapai sasaran nasional.
“Antara golongan yang paling ramai merokok ialah lelaki di mana lebih satu pertiga lelaki dewasa dilaporkan merokok.
“Walaupun perokok tembakau berkurangan, dapatan tinjauan mendapati peningkatan penggunaan 'vape' yang membimbangkan,” katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Nur Suhaila berkata, dalam menghadapi cabaran berterusan berkaitan masalah merokok, individu yang berniat untuk berhenti digalakkan mengambil inisiatif bagi mencapai matlamat tersebut.

“Bulan Ramadan membentuk disiplin dan kawalan diri umat Islam dengan menahan diri daripada makan, minum dan merokok sekali gus menunjukkan keupayaan mengawal keinginan untuk menyesuaikan diri tanpa nikotin.
“Niat memperbaiki kesihatan diri dan melindungi keluarga menjadi dorongan utama untuk mengekalkan gaya hidup sihat,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, rokok mengandungi nikotin yang menimbulkan ketagihan secara fizikal dan psikologi.
“Kesukaran untuk berhenti merokok lazimnya berpunca daripada ketagihan ini yang memberi kesan terhadap tubuh dan emosi.
“Apabila seseorang berusaha berhenti merokok, mereka mungkin mengalami keinginan kuat untuk merokok, rasa gelisah, kesukaran menumpukan perhatian atau perubahan emosi
“Kegagalan percubaan sebelum ini adalah sebahagian daripada pembelajaran dan dengan sokongan serta pendekatan yang sesuai, peluang untuk berjaya berhenti merokok adalah lebih tinggi,” ujarnya.
Tambah Nur Suhaila, bantuan untuk berhenti merokok kini semakin meluas ditawarkan di klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital universiti serta klinik swasta dan ia berasaskan terapi tingkah laku serta rawatan ketagihan.
“Klinik Berhenti Merokok HPUSM menyediakan kaunseling sokongan tingkah laku serta rawatan farmakoterapi termasuk terapi gantian nikotin atau ubat tertentu bagi membantu mengurangkan gejala ketagihan.
“Pendekatan ini disesuaikan mengikut keperluan individu ‘personalised’ dan ‘patient centered care’ serta orang ramai tidak perlu berhenti merokok bersendirian kerana bantuan profesional sentiasa disediakan,” katanya.
Menurut Nur Suhaila, sokongan keluarga memainkan peranan penting di mana galakan positif, pengelakan kritikan dan persekitaran bebas asap rokok mampu meningkatkan motivasi individu.
“Berhenti merokok bukan sahaja bermanfaat kepada individu tetapi juga melindungi keluarga daripada pendedahan asap rokok dan kesannya.
“Selain itu, peranan rakan, orang sekeliling dan masyarakat juga amat penting dalam menyokong proses berhenti merokok ini,” ulasnya lanjut.
Di akhir temu bual, Nur Suhaila menasihatkan individu yang memerlukan bantuan untuk berhenti merokok boleh mendapatkan khidmat tersebut di Klinik Berhenti Merokok HPUSM melalui Klinik Rawatan Keluarga.
“Gunakan bulan Ramadan sebagai peluang untuk berhenti merokok atau menghisap ‘vape’, mulakan dengan niat dan langkah kecil serta dapatkan sokongan keluarga, masyarakat dan bantuan profesional untuk meningkatkan peluang kejayaan.
“Untuk maklumat lanjut, individu boleh menghubungi Klinik Rawatan Keluarga HPUSM di talian 09-767 3498/ 3514 atau mengunjungi mana-mana klinik berdekatan yang menawarkan rawatan ketagihan dengan merujuk laman web JomQuit.my," jelasnya.
Teks: Marlina Zahari/ Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 129