RAWATAN AWAL JULING TINGKAT PELUANG PULIHKAN FUNGSI PENGLIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Julai 2026 - Juling atau strabismus merupakan keadaan apabila kedua-dua mata tidak memandang ke arah yang sama dengan sebelah mata memandang lurus manakala sebelah lagi menghala ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.
Keadaan ini bukan sekadar menjejaskan penampilan, malah boleh memberi kesan serius terhadap penglihatan jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Bagi kanak-kanak, strabismus boleh mengganggu perkembangan penglihatan serta meningkatkan risiko mata malas (ambliopia), manakala bagi orang dewasa, ia berpotensi menyebabkan penglihatan berganda dan kesukaran menganggarkan jarak.
Menurut Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Ng Kwang Sheng, juling atau strabismus boleh berpunca daripada pelbagai faktor bergantung pada peringkat umur seseorang.
“Dalam kalangan kanak-kanak, keadaan itu lazimnya dikaitkan dengan faktor keturunan, rabun yang tidak dirawat, penglihatan yang lemah pada sebelah mata serta gangguan perkembangan otak atau sistem saraf.
“Selain itu, beberapa penyakit tertentu seperti ‘Cerebral Palsy’ dan ‘Down Syndrome’ turut meningkatkan risiko berlakunya juling dalam kalangan kanak-kanak.
“Justeru, pengesanan awal dan pemeriksaan mata secara berkala amat penting bagi mengelakkan komplikasi yang boleh menjejaskan perkembangan penglihatan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Tambah Kwang Sheng, bagi orang dewasa pula, juling boleh berlaku akibat beberapa masalah kesihatan seperti diabetes yang menjejaskan saraf otot mata, strok, penyakit mata yang berkaitan dengan kelenjar tiroid, kecederaan serta keadaan juling yang dialami sejak kecil tetapi berulang semula pada usia dewasa.
Menurut beliau, penggunaan telefon pintar secara berlebihan, khususnya pada jarak yang terlalu dekat dan tanpa rehat boleh meningkatkan risiko berlakunya juling yang berlaku secara tiba-tiba, dikenali sebagai ‘Acute Acquired Comitant Esotropia’ (AACE).
“Keadaan ini berlaku apabila seseorang melihat skrin pada jarak dekat dalam tempoh yang panjang sehingga kedua-dua mata perlu sentiasa berpusing ke arah dalam bagi mengekalkan fokus.
“Penggunaan yang berterusan boleh menyebabkan otot mata menjadi terlalu aktif dan seterusnya mencetuskan juling dalam kalangan individu tertentu.

“Walaupun AACE merupakan keadaan yang jarang berlaku, risiko berkenaan boleh dikurangkan dengan mengamalkan penggunaan gajet secara sederhana, mempraktikkan peraturan 20-20-20 iaitu berehat selama 20 saat selepas melihat skrin selama 20 minit dengan memandang objek pada jarak kira-kira 20 kaki, selain mengekalkan jarak penglihatan yang sesuai ketika menggunakan peranti digital,”ujarnya lagi.
Kwang Sheng turut menyarankan ibu bapa agar membawa anak mereka menjalani pemeriksaan mata sekiranya mendapati sebelah mata anak kerap menghala ke dalam atau ke luar, khususnya ketika berada dalam keadaan letih atau tidak sihat.
“Pemeriksaan juga wajar dilakukan jika anak sering memiringkan atau memusingkan kepala, selain mengalami kesukaran menganggarkan jarak atau menunjukkan koordinasi tangan dan mata yang lemah.
“Selain pemerhatian ibu bapa, tanda-tanda juling turut boleh dikesan oleh ahli keluarga atau guru yang menyedari kedua-dua mata kanak-kanak tidak sejajar kerana pengesanan awal amat penting bagi memastikan rawatan dapat diberikan sebelum keadaan tersebut menjejaskan perkembangan penglihatan,” terangnya.
Selain itu, Kwang Sheng turut menjelaskan bahawa dalam sesetengah kes, bayi mungkin kelihatan seolah-olah mengalami juling akibat batang hidung yang lebar atau lipatan kulit pada bahagian dalam mata.
“Keadaan ini dikenali sebagai juling palsu (pseudostrabismus) kerana tidak melibatkan ketidaksejajaran mata yang sebenar, namun pemeriksaan mata tetap diperlukan bagi membezakan antara juling sebenar dan juling palsu,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, terdapat beberapa rawatan bagi penyakit juling bergantung pada punca yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku.
“Antara pilihan rawatan yang boleh diberikan termasuk penggunaan cermin mata untuk membetulkan masalah rabun, selain kaedah menampal mata yang lebih kuat bagi merangsang penglihatan pada mata yang lemah.
“Bagi pesakit yang mengalami penglihatan berganda, penggunaan cermin mata prisma boleh membantu mengurangkan simptom berkenaan selain suntikan botulinum toksin juga boleh dipertimbangkan sebagai pilihan rawatan bagi kes-kes tertentu yang dikenal pasti sesuai oleh pakar.
“Selain itu, dalam keadaan yang memerlukan, pembedahan otot mata akan dilakukan bagi membetulkan kedudukan mata supaya kembali sejajar dan kebanyakan pesakit memerlukan gabungan beberapa kaedah rawatan bagi mencapai hasil yang optimum serta meningkatkan fungsi penglihatan,” jelasnya.
Kwang Sheng turut menasihati ibu bapa yang mengesyaki anak mereka mengalami gejala juling untuk mendapatkan pemeriksaan mata secepat mungkin dengan membawa anak ke Klinik Mata HPUSM atau mana-mana klinik kesihatan berhampiran.
“Pengesanan dan rawatan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi serta memastikan perkembangan penglihatan kanak-kanak berada pada tahap yang optimum,” katanya.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin
- Created on .
- Hits: 202