RAWATAN AWAL PENTING TANGANI MASALAH KESIHATAN SEKSUAL LELAKI MUDA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Julai 2026 – Masalah kesihatan seksual dalam kalangan lelaki bukan lagi isu yang hanya dikaitkan dengan golongan berusia apabila laporan menunjukkan satu (1) daripada tiga (3) lelaki muda berumur 18 hingga 39 tahun mengalami masalah mati pucuk (disfungsi erektil).
Walaupun data khusus bagi negeri Kelantan masih terhad, kes yang dilihat dalam perkhidmatan kesihatan primer menunjukkan isu ini turut berlaku dalam kalangan lelaki muda di negeri ini, sekali gus menjejaskan kualiti hidup, keyakinan diri dan hubungan dengan pasangan.
Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Muhamad Faiz Mahayidin berkata, masalah seperti mati pucuk (disfungsi erektil), ejakulasi pramatang dan gangguan keinginan seksual juga berlaku dalam kalangan lelaki muda.
Ramai beranggapan mereka seorang sahaja yang mengalami masalah ini, sedangkan ia sebenarnya agak biasa dan ramai yang mengalaminya.
“Masalah ini bukan bermaksud seseorang itu ‘tidak normal’ atau ‘kurang jantan’, ia adalah masalah kesihatan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Menurut beliau, masalah seksual dalam kalangan lelaki muda berpunca daripada faktor psikologi seperti stres, kebimbangan prestasi seksual dan konflik dengan pasangan.
“Selain itu, isu kesihatan seperti obesiti, merokok, kurang bersenam dan penyakit kronik boleh meningkatkan risiko berlakunya masalah seksual.
“Terdapat juga ubat-ubatan tertentu seperti sesetengah ubat anti-depresan yang boleh memberi kesan kepada fungsi seksual. Oleh itu, punca sebenar hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh,” ujarnya lagi.
Tambah Dr. Muhamad Faiz, kebanyakan lelaki yang mengalami masalah ini mula mencari maklumat melalui internet atau media sosial.
“Selain itu, ada pula yang terus membeli ubat kuat secara dalam talian. Namun, harus diingatkan bahawa terdapat banyak produk yang mengandungi ubat terkawal tanpa dinyatakan pada label.
“Contohnya, ujian terhadap sampel kopi kuat yang diambil pesakit dan mendapati kandungannya mengandungi empat (4) kali ganda melebihi dos maksimum ubat sildenafil.

“Lebih membimbangkan, seseorang itu mungkin mempunyai penyakit jantung, diabetes atau masalah hormon, tetapi hanya mengambil ubat tanpa mengetahui punca sebenar masalah mati pucuk”, jelasnya.
Muhamad Faiz turut menyarankan agar lelaki yang mengalami masalah seksual mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada doktor.
“Jika masalah berlaku sekali-sekala, ia mungkin berkaitan dengan keletihan atau tekanan, tetapi jika masalah berulang melebihi tiga (3) bulan atau sehingga mengganggu hubungan suami isteri, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.
“Tidak semua rawatan memerlukan ubat. Bagi kes yang ringan dan sederhana, perubahan gaya hidup, kaunseling dan rawatan penyakit yang sedia ada boleh mengembalikan semula kemampuan seksual.
“Doktor akan berbincang secara profesional dan sulit serta yang paling penting, jangan malu untuk mendapatkan rawatan,” terangnya lagi.
Beliau turut berkongsi tip mudah untuk lelaki muda menjaga kesihatan seksual mereka.
“Pertama, jaga kesihatan badan dengan bersenam secara berkala (150 minit seminggu), tidur yang cukup (melebihi 7 jam), kawal berat badan dan berhenti merokok/(vape). Apa yang baik untuk kesihatan jantung adalah baik untuk kesihatan seksual.
“Kedua, jaga kesihatan minda kerana tekanan dan kebimbangan berlebihan boleh memberi kesan besar terhadap prestasi seksual serta berhenti menonton dan membandingkan lakonan video pornografi dengan prestasi anda.
“Ketiga, berani mendapatkan bantuan kerana masalah seksual adalah masalah perubatan seperti penyakit lain. Lebih awal mendapatkan rawatan, lebih tinggi peluang untuk pulih,” jelasnya.
Muhamad Faiz turut menasihati lelaki muda agar tidak berasa malu untuk mendapatkan rawatan awal kerana kesihatan seksual adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan dan mendapatkan rawatan adalah satu langkah yang bijak, bukan perkara memalukan.
“Kesihatan seksual bukan sekadar tentang hubungan intim kerana ia juga mencerminkan kesihatan jantung, hormon, emosi dan kualiti hidup seseorang.
“Jangan mudah terpengaruh dengan produk yang menjanjikan kesan segera. Jika mengalami masalah, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan nasihat yang tepat," katanya lagi.
Teks: Nik Ariff Mat Daud / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 283