Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RAWATAN MATI SARAF GIGI, ELAK GIGI KEKAL YANG ROSAK DICABUT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 November 2023 - Gigi merupakan salah satu anggota badan yang penting dan mempunyai tiga lapisan iaitu enamel, dentin serta pulpa gigi. Pulpa gigi terdiri daripada saraf, saluran darah dan tisu penghubung. Apabila bakteria masuk dalam pulpa, ia boleh menyebabkan keradangan atau nekrotik (mati).

Gigi yang mengalami keradangan atau mati perlu dirawat melalui rawatan mati saraf gigi atau dikenali sebagai rawatan kanal (salur) akar yang boleh dilakukan oleh doktor pergigian am atau pakar endodontik (pakar rawatan akar gigi) bagi kes yang rumit.

WhatsApp Image 2023 11 26 at 16.30.50

Pensyarah Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Huwaina Abd Ghani berkata, rawatan ini merupakan rawatan alternatif untuk gigi yang telah rosak teruk supaya tidak perlu dicabut dan boleh terus kekal berfungsi.

“Kebaikan mendapatkan rawatan mati saraf gigi ini adalah gigi tersebut masih kekal di dalam mulut dan dapat berfungsi untuk mengunyah serta mengekalkan estetik setiap pesakit dengan kadar kelangsungan sebanyak 95 peratus (%) sepanjang tempoh empat (4) tahun.

“Dengan rawatan yang sesuai dan tahap praktis yang tinggi, kemungkinan besar gigi yang telah melalui proses rawatan mati saraf gigi mampu bertahan untuk seumur hidup,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.

Menurut Huwaina, rawatan mati saraf gigi diperlukan apabila jangkitan pada rongga gigi tidak dirawat untuk masa yang lama dan jangkitan juga mungkin berlaku apabila individu tersebut mengalami gigi patah atau rosak akibat trauma.

“Pesakit yang mengalami masalah ini biasanya diberi dua pilihan rawatan gigi iaitu menjalankan rawatan mati saraf gigi ataupun cabutan gigi.

“Rawatan mati saraf gigi adalah pilihan terbaik sekiranya gigi tersebut masih mempunyai struktur korona gigi yang mencukupi dan kesihatan gusi yang sihat kerana telah terbukti keberkesanannya dan merupakan satu pilihan rawatan yang terbaik untuk menghalang proses kerosakan gigi daripada berterusan” ujarnya lagi.

Tambah Huwaina, apabila kawasan pulpa telah dijangkiti, keradangan pulpa akan berlaku dan pesakit biasanya akan mengalami gejala seperti sakit apabila makan atau minum sesuatu yang panas atau sejuk, sakit berdenyut yang berpanjangan, sakit gigi secara tiba-tiba, sakit gigi yang mengganggu tidur malam serta pembentukkan bengkak pada bahagian gusi.

“Selain itu, gejala lain yang mungkin dihadapi oleh pesakit ialah perubahan pada warna gigi, gigi menjadi mudah patah, retak atau bergoyang,” jelasnya.

Huwaina turut menerangkan dalam sesetengah keadaan pesakit mungkin tidak menyedari bahawa mereka mempunyai gigi yang dijangkiti dan memerlukan rawatan ini.

“Masalah ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan bertambah teruk yang boleh membawa kepada jangkitan atau nanah pada gigi dan gigi mungkin terpaksa dicabut.

“Namun begitu, pesakit perlu ambil maklum bahawa gigi yang telah melalui proses rawatan mati saraf gigi akan menjadi sedikit rapuh berbanding kekuatan asal gigi asli yang sihat.

“Oleh itu, rawatan pemasangan korona amatlah disarankan bagi memanjangkan tempoh kelangsungan gigi tersebut,” ulasnya lanjut.

Huwaina juga turut menjelaskan bahawa pesakit mungkin mengalami sedikit rasa sakit atau tiada kesakitan langsung semasa menjalani rawatan mati saraf gigi.

“Hal ini kerana ubat kebas setempat akan disuntik di kawasan gigi yang dirawat untuk memberikan kesan kebas pada gusi dan gigi bagi keselesaan pesakit sepanjang prosedur,” katanya.

Selain itu, Huwaina turut menasihatkan orang ramai agar menjadikan amalan mendapatkan pemeriksaan gigi secara berkala sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

“Melalui pemeriksaan gigi berkala, doktor gigi dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi seseorang individu lebih awal serta memberi rawatan dengan lebih cepat,” jelasnya.

Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 1716