RAWATAN REFRAKTIF LASER MAMPU PULIHKAN MASALAH RABUN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2021 – Masalah rabun adalah masalah yang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak mengenal usia dan jantina.
Rabun adalah satu penyakit mata yang menyebabkan penglihatan menjadi kabur, ia terjadi apabila cahaya yang masuk ke dalam mata tidak difokus ke atas retina.
Masalah rabun boleh dibetulkan melalui pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau pembedahan refraktif laser.
Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan , Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohtar Ibrahim, rawatan menggunakan cermin mata dan kanta sentuh merupakan alatan yang tidak mengubah struktur mata itu sendiri dan ia boleh ditukar ganti mengikut keperluan.
“Mata menjadi rabun kerana faktor genetik, kerap menonton televisyen, menghadap komputer, menggunakan gajet terlalu lama, kurang vitamin atau mengalami penyakit yang berkaitan.
“Dari segi saintifik, rabun boleh dibahagikan kepada beberapa ketegori seperti rabun jauh (miopia), rabun dekat (hipermertopia)dan rabun silau (astigmatism).
"Rabun jauh adalah keadaan di mana cahaya difokuskan di hadapan retina, ia boleh dirawat dengan menggunakan kanta cekung manakala rabun dekat pula adalah keadaan di mana cahaya difokuskan di belakang retina dan ia boleh dirawat dengan menggunakan kanta cembung," ujarnya ketika ditemubual menerusi rancangan Sembang Sihat Kelantan FM, di sini.
Mohtar berkata, seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi serta teknik termoden, semua jenis rabun boleh dirawat dengan melakukan pembedahan refraktif laser iaitu kaedah rawatan mata secara laser sepenuhnya yang kini mula menjadi pilihan.
“Pesakit tidak perlu lagi memakai cermin mata atau kanta lekap yang biasanya menyebabkan mata menjadi merah dan jangkitan jika tidak dijaga dengan sempurna.
“Bagi pembedahan refraktif laser, ianya melibatkan pembentukan semula permukaan kornea untuk membolehkan cahaya difokuskan ke fovea dan menghilangkan rabun yang ada serta mengembalikan penglihatan seperti normal.
"Prosedur ini hanya mengambil masa 10 minit bagi sebelah mata,” jelasnya lagi.
Tambah Mohtar, kaedah laser lebih selamat, berkesan, berisiko rendah, selesa, efektif dan kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan ini dapat melihat dengan lebih baik dalam masa beberapa hari selepas pembedahan.
“Kebanyakan pesakit memilih rawatan refraktif laser supaya mereka dapat melihat dengan jelas tanpa memakai cermin mata dan dapat melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah.
"Namun begitu, bukan semua masalah rabun boleh menjalani rawatan ini, sebaliknya pesakit perlu dilihat dari aspek tahap rabun, ketebalan kornea dan bentuk permukaan hadapan serta belakang kornea mereka terlebih dahulu," jelasnya lanjut.
Selain itu, menurut Mohtar, mereka yang berminat perlu melakukan pemeriksaan lanjut di pusat pakar mata yang menawarkan kaedah refraktif laser supaya tahu mengenai kesesuaian, kelebihan, kesan sampingan, rawatan alternatif serta boleh mengemukakan sebarang persoalan mengenai pembedahan ini.
"Pesakit mempunyai pilihan untuk meneruskan rawatan atau tidak selepas diberi penerangan rapi oleh doktor yang memeriksa keadaan matanya.
"Rawatan refraktif laser juga akan diperkenalkan di Hospital USM tidak lama lagi dan kadar bayaran untuk kos rawatan tersebut adalah hampir sama dengan pusat-pusat rawatan lain," katanya lagi.
Teks: Anawiah Abdul Aziz / Rekagrafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman.
- Created on .
- Hits: 331