Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RAWATAN SALUR AKAR: PILIHAN UNTUK KEKALKAN GIGI SEMULA JADI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 September 2026 – Ramai pesakit berasa cemas apabila doktor gigi mencadangkan rawatan salur akar atau ‘root canal treatment’ kerana menganggap prosedur tersebut menyakitkan dan akhirnya tetap berakhir dengan cabutan gigi.

Hakikatnya, rawatan salur akar merupakan antara prosedur pergigian yang penting bagi menyelamatkan gigi semula jadi yang mengalami keradangan atau jangkitan pada bahagian pulpa, iaitu tisu lembut yang mengandungi saraf dan salur darah di dalam gigi.

Pakar Endodontik yang juga Pensyarah Pergigian Klinikal Program Konservatif dan Endodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurulaqmar Iwani Samsudin berkata, rawatan salur akar bertujuan menghapuskan jangkitan pada sistem salur akar serta mengekalkan gigi semula jadi supaya terus berfungsi dalam jangka masa panjang.

“Apabila pulpa gigi mengalami keradangan atau jangkitan akibat karies yang teruk, trauma atau keretakan gigi, bakteria boleh memasuki sistem salur akar dan menyebabkan jangkitan merebak ke kawasan sekitar hujung akar.

“Jika keadaan ini tidak dirawat, pesakit mungkin mengalami kesakitan yang berpanjangan, bengkak dan pembentukan abses,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Beliau menjelaskan bahawa rawatan salur akar melibatkan proses membuang tisu pulpa yang rosak atau dijangkiti, membersihkan dan menyahjangkit sistem salur akar sebelum ia diisi dengan bahan khas yang dikenali sebagai gutta-percha.

“Tujuan utama rawatan ini adalah untuk menghapuskan bakteria dan mencegah jangkitan berulang supaya gigi dapat terus dikekalkan.

“Selepas rawatan selesai, gigi biasanya perlu dipulihkan dengan tampalan atau mahkota pergigian bagi memastikan kekuatan dan ketahanannya dalam jangka panjang,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai tanggapan bahawa rawatan salur akar merupakan prosedur yang menyakitkan, beliau berkata persepsi tersebut tidak lagi tepat dengan perkembangan teknologi pergigian masa kini.

“Pesakit akan diberikan ubat kebas setempat sebelum rawatan dijalankan bagi memastikan prosedur dapat dilakukan dengan selesa.

“Walaupun sesetengah pesakit mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan selepas rawatan, keadaan tersebut lazimnya bersifat sementara dan boleh dikawal dengan ubat tahan sakit atau ubat anti-radang yang sesuai,” ujarnya.

Menurut beliau, terdapat juga keadaan yang dikenali sebagai ‘acute flare-up’, iaitu peningkatan mendadak kesakitan atau bengkak selepas rawatan salur akar dimulakan.

“Keadaan ini boleh berlaku akibat tindak balas keradangan atau perubahan bakteria dalam sistem salur akar semasa rawatan dijalankan.

“Pesakit mungkin mengalami sakit ketika menggigit, bengkak pada gusi atau muka serta rasa berdenyut pada kawasan yang dirawat.

“Walau bagaimanapun, kebanyakan kes dapat dikawal dan akan pulih dalam tempoh beberapa hari dengan rawatan yang sesuai,” katanya.

Ditanya mengenai kejayaan rawatan salur akar, beliau berkata, prosedur tersebut mempunyai kadar kejayaan yang tinggi apabila dilakukan mengikut prosedur klinikal yang betul.

“Dalam kes yang lebih kompleks, pesakit mungkin dirujuk kepada pakar endodontik yang mempunyai latihan khusus dalam bidang rawatan salur akar.

“Dengan penggunaan teknologi moden seperti mikroskop pergigian, sistem ‘fail rotary’ dan bahan biokeramik, banyak gigi yang sebelum ini dianggap sukar dirawat masih boleh diselamatkan tanpa perlu dicabut,” terangnya lagi.

Nurulaqmar Iwani berkata, matlamat utama rawatan pergigian moden adalah untuk mengekalkan gigi semula jadi selama yang mungkin.

“Setiap gigi yang berjaya diselamatkan membantu mengekalkan fungsi kunyahan, pertuturan serta kesihatan tulang rahang.

“Jangan terlalu cepat membuat keputusan untuk mencabut gigi kerana dalam banyak keadaan, gigi yang bermasalah masih boleh diselamatkan melalui rawatan salur akar dan pemulihan yang sesuai,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan pergigian lebih awal sekiranya mengalami sakit gigi yang berpanjangan bagi mengelakkan jangkitan menjadi lebih serius dan mengurangkan risiko kehilangan gigi pada usia muda.

“Semakin awal sesuatu masalah pergigian dikenal pasti dan dirawat, semakin tinggi peluang untuk mengekalkan gigi semula jadi serta mengelakkan rawatan yang lebih kompleks pada masa hadapan.

“Setiap gigi yang kita miliki sangat bernilai dan wajar dipelihara sebaik mungkin demi kesihatan mulut yang optimum,” tambahnya lagi.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 48