SEDASI BANTU REDAKAN EMOSI KETIKA RAWATAN GIGI KANAK-KANAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Jun 2025 – Sedasi merupakan salah satu teknik pengurusan tingkah laku yang semakin meluas diamalkan dalam kepakaran pergigian pediatrik.
Sedasi melibatkan penggunaan ubat-ubatan untuk membantu anak menjadi lebih tenang, selesa dan kooperatif semasa prosedur pergigian. Ini adalah kaedah yang sangat berguna terutamanya untuk kanak-kanak yang mengalami ketakutan, kebimbangan yang teruk atau mereka yang mempunyai keperluan khas yang menyukarkan proses rawatan pergigian.
Pakar Pergigian Pediatrik dan Pensyarah Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG),Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norsamsu Arni Samsudin berkata, tujuan utama sedasi adalah untuk memastikan pengalaman rawatan pergigian yang positif dan selamat untuk kanak-kanak.
“Pengurusan tingkah laku kanak-kanak semasa rawatan pergigian merupakan aspek utama dalam kepakaran pergigian pediatrik.
“Terdapat dua (2) jenis pengurusan tingkah laku iaitu yang pertama tidak melibatkan sebarang penggunaan ubat dan lebih kepada aplikasi aspek psikologi dan jenis kedua pula melibatkan penggunaan ubat-ubatan oleh pesakit seperti sedasi dan bius umum.
“Sedasi dalam rawatan gigi kanak-kanak adalah penggunaan satu (1) ubat atau
beberapa jenis ubat untuk membantu anak menjadi lebih tenang, selesa dan dapat memberi kerjasama semasa prosedur atau rawatan pergigian,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.
Menurut Norsamsu Arni, sedasi biasanya diberi sebelum rawatan pergigian dijalankan dan berterusan sehingga rawatan selesai.
“Pesakit biasanya dalam keadaan sedar atau separa sedar sepanjang rawatan dijalankan.
“Sedar itu maksudnya boleh dikejutkan dan bertindak balas walaupun minimal kepada sentuhan atau arahan verbal selain dapat bernafas secara normal,” terangnya lagi.
Tambah Norsamsu Arni, Klinik Pakar Pergigian Pediatrik Hospital Pakar USM (HPUSM) sering menerima rujukan kes kanak-kanak yang sukar memberi kerjasama atau mempunyai keperluan khas.
“Setelah pemeriksaan terperinci, sedasi akan dicadangkan kepada ibu bapa bagi membantu kelancaran rawatan pergigian anak mereka.
“Sedasi dalam rawatan pergigian kanak-kanak berperanan penting dalam mengurangkan kebimbangan dan ketakutan serta membantu mereka yang cemas menjadi lebih tenang.
“Ia turut meningkatkan kerjasama terutamanya bagi kanak-kanak yang gelisah atau sukar duduk diam, sekali gus mempercepat dan meningkatkan kecekapan rawatan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sedasi juga memberi keselesaan semasa prosedur yang kompleks atau panjang serta memudahkan rawatan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas seperti Autisme dan ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD) selain membantu mengurangkan refleks muntah yang boleh mengganggu proses rawatan.
“Terdapat pelbagai jenis sedasi untuk rawatan pergigian kanak-kanak dengan kesesuaian berdasarkan umur, riwayat kesihatan, jenis dan tempoh rawatan.
“Antara jenis sedasi adalah inhalasi sedasi (melibatkan pernafasan campuran oksigen dan nitrus oksida menggunakan alat khusus dan pelitup hidung), sedasi oral (diberikan dalam bentuk cecair atau pil yang dicampur dengan minuman manis sebelum rawatan) dan sedasi intravena (IV) (pemberian ubat terus ke dalam salur darah untuk kesan yang lebih cepat dan mendalam),” katanya.
Menurut Norsamsu Arni lagi, ibu bapa perlu memahami dengan jelas tujuan sedasi, jenis dan risiko yang akan dihadapi berdasarkan penerangan pakar sebelum menandatangani borang kebenaran rawatan.
“Pastikan anak berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan emosi pada hari prosedur bagi memastikan kelancaran rawatan.
“Disarankan juga agar anak-anak datang ke klinik dengan menaiki kereta dan ditemani oleh dua orang dewasa bagi membantu menguruskan anak dengan lebih baik,” ulasnya lanjut.
Beliau berkata, sepanjang prosedur dijalankan, ibu bapa perlu kekal tenang dan bersikap positif untuk memberi keyakinan dan ketenangan kepada anak-anak.
Norsamsu Arni turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan mengambil tahu serta memahami kaedah rawatan yang akan dijalani oleh anak-anak terutama jika melibatkan sedasi dalam rawatan pergigian.
“Berbincanglah dengan pakar pergigian mengenai jenis sedasi, risiko dan persediaan yang perlu dilakukan agar anak berada dalam keadaan sihat, tenang serta mematuhi arahan seperti berpuasa sebelum prosedur dijalankan.
“Sikap tenang dan positif daripada ibu bapa amat membantu dalam mencetuskan rasa selamat dan yakin diri anak semasa rawatan.
Menurutnya, selain Klinik Pergigian HPUSM, perkhidmatan ini turut ditawarkan melalui Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif (USAINS). Bagi yang berminat, boleh hubungi Poliklinik Eksekutif USM di talian 09-766 6200 atau layari laman ‘facebook’ USM Executive Health Services untuk maklumat lanjut.
Teks: Marlina Zahari/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 36