Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SEMBELIT KANAK-KANAK BUKAN MASALAH KECIL, BOLEH CETUS TRAUMA DAN SAKIT BERTERUSAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Ogos 2026 - Masalah sembelit dalam kalangan kanak-kanak tidak wajar dianggap sebagai isu kecil kerana jika dibiarkan, ia boleh mencetuskan rasa trauma, luka pada dubur serta lingkaran rasa sakit yang berpanjangan kepada kanak-kanak.

Menurut Pakar Pediatrik Gastroenterologi, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Nur Haidar Hazlan, ramai ibu bapa menganggap sembelit akan hilang sendiri atau sekadar berpunca daripada salah makan.

"Tanda sembelit bukan hanya apabila anak tidak membuang air besar selama beberapa hari, sebaliknya terdapat beberapa tanda lain yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa.

"Antara tanda sembelit ialah anak membuang air besar kurang daripada dua (2) atau tiga (3) kali seminggu, najis keras, berketul-ketul seperti tahi kambing atau terlalu besar sehingga menyebabkan kesakitan," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Siti Nur Haidar, perubahan tingkah laku anak juga boleh menjadi petunjuk bahawa mereka sedang mengalami masalah sembelit.

"Anak mungkin menyilang kaki, berjinjit, menangis atau berasa takut apabila hendak ke tandas kerana cuba menahan najis.

"Simptom sampingan yang boleh berlaku termasuk perut kembung, hilang selera makan serta terdapat sedikit titisan darah segar akibat luka pada dubur atau rekahan pada dubur (anal fissure)," ujarnya lagi.

Siti Nur Haidar berkata, lebih 90 peratus (%) kes sembelit dalam kalangan kanak-kanak merupakan sembelit fungsional yang tidak berpunca daripada penyakit organik tetapi lebih berkaitan dengan pemakanan dan tingkah laku.

"Antara faktor yang boleh menyumbang kepada masalah ini ialah pengambilan makanan yang kurang serat dan air, termasuk kurang mengambil sayur-sayuran, buah-buahan serta air masak.

"Pengambilan susu formula secara berlebihan serta makanan terproses atau bergula turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa," jelasnya.

Menurut beliau, apabila najis keras dan menyebabkan sakit semasa membuang air besar, anak akan berasa takut lalu menahan najis tersebut.

“Keadaan ini menyebabkan najis menjadi semakin keras dan besar dalam usus serta membentuk satu lingkaran yang menyebabkan masalah sembelit berterusan.

“Selain itu, fasa latihan ke tandas juga boleh menjadi faktor sekiranya anak mengalami tekanan atau dipaksa menjalani latihan tandas terlalu awal atau secara drastik.

"Perubahan persekitaran dan rutin harian seperti mula masuk tadika, takut menggunakan tandas di sekolah atau perubahan rutin turut boleh mempengaruhi masalah sembelit dalam kalangan kanak-kanak,” terangnya lagi.

Siti Nur Haidar berkata, bagi membantu mengatasi masalah tersebut, ibu bapa dicadangkan mengamalkan prinsip 3S iaitu serat, cecair dan susu seimbang serta menggalakkan anak mengambil buah-buahan seperti betik, pisang masak, kurma, kismis, epal dan sayur-sayuran selain memastikan pengambilan air masak yang mencukupi mengikut umur.

Beliau turut menjelaskan, pengambilan susu juga perlu dikawal dan biasanya dihadkan kepada maksimum 500 hingga 600 mililiter (ml) sehari bagi kanak-kanak berusia lebih satu (1) tahun supaya anak tidak kenyang dengan susu sahaja.

"Dari aspek tabiat dan tingkah laku, ibu bapa boleh membina rutin tandas dengan mendudukkan anak di tandas selama lima (5) hingga 10 minit selepas makan khususnya selepas sarapan atau makan malam.

"Jika menggunakan tandas duduk, gunakan bangku kecil di bawah kaki supaya lutut berada lebih tinggi daripada pinggul bagi mendapatkan posisi membuang yang betul," katanya.

Siti Nur Haidar turut menjelaskan bahawa ubat pelembut najis seperti ‘Lactulose’ atau ‘Macrogol’ adalah selamat, tidak menyebabkan ketagihan dan penting untuk membantu memecahkan lingkaran rasa sakit yang dialami anak.

"Ibu bapa perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya sembelit berlaku sejak lahir atau bayi baru lahir tidak mengeluarkan najis pertama atau meconium dalam tempoh 48 jam selepas kelahiran.

“Selain itu, kanak-kanak juga perlu dirujuk kepada doktor jika mengalami sembelit sehingga demam yang tinggi, muntah hijau atau coklat, perut yang sangat buncit atau keras serta berat badan turun secara drastik dan tidak membesar mengikut carta," ulasnya lanjut.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom

  • Created on .
  • Hits: 78