SENYUMAN SIHAT BERMULA DENGAN RAWATAN ‘BRACES’ YANG TEPAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Ogos 2025 – Ramai yang menganggap rawatan ortodontik (braces) hanya untuk mencantikkan senyuman, tetapi rawatan ini sebenarnya menyelesaikan lebih banyak masalah dari segi penampilan kerana ia membetulkan struktur gigi dan rahang demi kesihatan jangka panjang.
Rawatan ortodontik atau lebih dikenali sebagai rawatan ‘braces’ ialah rawatan pergigian yang boleh membetulkan keadaan maloklusi. Maloklusi ialah keadaan di mana kedudukan gigi, rahang atau kombinasi kedua-duanya dalam posisi atau susunan yang tidak betul dan rawatan ortodontik dilakukan bertujuan meningkatkan fungsi dan penampilan kesihatan oral, susunan gigi dan rahang.
Menurut Pakar Ortodontik, Unit Ortodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Liyana Ghazali, masalah seperti gigi berlapis, berpusing, terkeluar atau terbenam sering berlaku kerana kekurangan ruang di dalam rahang.
“Jika dibiarkan, keadaan ini bukan sahaja menyukarkan penjagaan kebersihan mulut, tetapi juga boleh menjejaskan fungsi mengunyah dan bercakap.
“’Braces’ membantu menyusun semula gigi agar lebih teratur dan berfungsi dengan baik,” ujarnya ketika menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
Liyana berkata, rawatan ortodontik sangat penting untuk membetulkan pelbagai jenis maloklusi atau ketidaksejajaran gigitan seperti ‘open bite’, ‘deep bite’, ‘crossbite’ dan ‘underbite’.
“Masalah ini boleh menyebabkan tekanan tidak seimbang pada sendi rahang, sakit kepala serta kesukaran untuk makan dan semua masalah ini boleh diperbaiki dengan rawatan awal yang betul.
“Selain itu, terdapat masalah lain juga yang memerlukan perhatian pakar ortodontik seperti tabiat menghisap ibu jari, menolak lidah semasa bercakap atau bernafas melalui mulut dan semua masalah ini boleh menyebabkan perubahan bentuk rahang dan gigi sejak kecil,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, pesakit dengan keperluan khas seperti bibir sumbing (klef) atau gangguan tidur seperti ‘obstructive sleep apnoea’ (OSA) juga boleh mendapat manfaat besar daripada rawatan ortodontik.
“Sebagai contoh, alat seperti ‘mandibular advancement device’ digunakan untuk membantu pesakit OSA bernafas dengan lebih baik ketika tidur, manakala rawatan ortodontik awal membantu mempersiapkan rahang untuk pembedahan rekonstruktif bagi pesakit klef,” katanya.
Liyana turut menjelaskan bahawa PPSG USM mempunyai kelebihan tersendiri dalam rawatan ‘braces’ kerana ia bukan sahaja dilakukan oleh pakar berdaftar dengan Malaysian Dental Council (MDC), tetapi juga dilengkapi dengan peralatan moden seperti ‘X-ray 3D’, pengimbas intraoral (intra-oral scanner) dan ‘Cone Beam Computed Tomography’ (CBCT).
“Pesakit yang mempunyai masalah kompleks biasanya akan dirawat oleh pasukan multidisiplin termasuk pakar bedah mulut, periodontik dan prostodontik.
“Standard keselamatan yang tinggi menjadikan rawatan di PPSG lebih diyakini, terutama untuk pesakit yang mempunyai masalah perubatan lain,” terangnya lagi.
Liyana turut berpesan kepada para ibu bapa atau individu yang mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan masalah pergigian, rahang atau masalah lain yang memerlukan rawatan ‘braces’, mereka boleh mendapatkan khidmat rundingan melalui Klinik Pergigian USAINS, PPSG USM di talian 09-7673719.
“Buat masa sekarang, perkhidmatan pergigian di Klinik USAINS beroperasi pada waktu pejabat bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang (Ahad hingga Khamis).
“Rawatan selepas waktu bekerja dari pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam dan pada cuti hujung minggu (Sabtu) boleh dibuat secara janji temu.
Liyana turut menasihatkan agar individu yang mengalami sebarang masalah gigi, rahang atau pertumbuhan wajah yang membimbangkan segera mendapatkan rawatan di klinik gigi atau hospital yang berhampiran.
“Dapatkan penilaian awal daripada pakar ortodontik kerana senyuman sihat bermula dengan langkah pertama yang tepat,” ulasnya lanjut.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 133