Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SERANGAN SENYAP: STROK BOLEH BERLAKU TANPA AMARAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 April 2026 – Strok merupakan antara punca utama kematian dan kecacatan di seluruh dunia. Keadaan ini berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu sama ada disebabkan oleh saluran darah tersumbat atau pecah.

Kekurangan oksigen ke otak boleh menyebabkan kerosakan sel dalam tempoh yang sangat singkat dan kematian hampir dua (2) juta sel otak dalam masa satu minit sekiranya saluran darah utama tersumbat.

Menurut Pakar Perunding Neurologi, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Sanihah Abdul Halim, strok boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran dan memberi kesan besar kepada fungsi tubuh seperti pergerakan, pertuturan serta keupayaan kognitif.

“Justeru, tempoh beberapa jam pertama selepas simptom muncul adalah sangat kritikal untuk rawatan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa strok merupakan kecemasan perubatan yang berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu secara mengejut.

“Terdapat dua (2) jenis utama strok iaitu strok iskemia yang berlaku akibat saluran darah tersumbat dan strok hemoragik (perdarahan) yang berlaku apabila saluran darah pecah.

“Antara faktor risiko utama yang menyumbang kepada strok termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, penyakit jantung serta tabiat merokok,” ujarnya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambahnya, gaya hidup tidak aktif, obesiti, faktor usia dan sejarah keluarga juga meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami strok dan kebanyakan kes berlaku akibat faktor risiko yang tidak dikawal dengan baik.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mengenali tanda-tanda awal strok melalui konsep ‘BEFAST’ (Balance, Eye, Face, Arm, Speech, Time) yang boleh membantu orang ramai bertindak dengan lebih cepat.

“Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk hilang keseimbangan atau pening secara tiba-tiba, penglihatan menjadi kabur, wajah menjadi senget, kelemahan pada tangan atau kaki serta pertuturan yang tidak jelas.

 

WhatsApp Image 2026 04 05 at 2.53.58 PM

“Masa adalah faktor paling penting dan tindakan segera perlu diambil sekiranya gejala ini berlaku,” jelasnya lagi.

Menurut Sanihah, walaupun strok sering berlaku tanpa amaran, terdapat juga kes di mana pesakit mengalami simptom awal yang ringan seperti pening, gangguan penglihatan atau kebas pada satu bahagian badan.

“Oleh itu, beliau menyarakankan masyarakat agar sentiasa peka terhadap perubahan mendadak pada tubuh,” katanya.

Mengulas lanjut, Sanihah berkata, rawatan reperfusi strok merupakan rawatan kecemasan yang bertujuan memulihkan aliran darah ke otak, khususnya bagi kes strok iskemia.

“Rawatan ini merangkumi pemberian ubat pencair darah (thrombolysis) serta prosedur mekanikal (thrombectomy) untuk mengeluarkan bekuan darah dalam salur darah utama.

“Rawatan ini hanya berkesan jika diberikan dalam tempoh tertentu yang dikenali sebagai ‘golden period’, iaitu kurang daripada 4.5 jam bagi ‘thrombolysis’ dan kurang daripada enam (6) jam bagi ‘thrombectomy’. Kemudahan rawatan ini ada disediakan di Hospital Pakar USM (HPUSM).

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berlengah untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengesyaki seseorang mengalami strok,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyarankan agar orang ramai mengambil tindakan segera termasuk menghubungi ambulans atau membawa pesakit ke hospital terdekat tanpa menunggu simptom hilang sendiri dan mencatat masa simptom bermula kerana ia penting untuk rawatan.

“Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan pesakit terlepas peluang untuk menerima rawatan yang berkesan.

“Dalam rawatan strok, kita sering menggunakan istilah ‘Time is Brain’, yang bermaksud setiap minit sangat berharga untuk menyelamatkan fungsi otak,” jelas beliau lagi.

Sanihah berkata, dalam usaha mencegah strok, orang ramai disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara berkala, mengawal tekanan darah, gula dan kolesterol serta berhenti merokok.

Diakhir temu bual, Sanihah turut menyarankan supaya orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengesan faktor risiko lebih awal.

“Kesedaran terhadap tanda-tanda strok dan tindakan segera mampu menyelamatkan nyawa serta mengurangkan risiko kecacatan.

Tanda awal strok menggunakan konsep ‘BEFAST’ perlu diketahui semua bagi menjalankan tindakan segera kerana dalam strok, masa adalah otak dan otak adalah masa,” katanya.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin

  • Created on .
  • Hits: 117