Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

TINGKAT KESEDARAN KECEMASAN DI RUMAH: ILMU ASAS YANG BOLEH SELAMATKAN NYAWA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Julai 2025 – Insiden kecemasan di rumah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira usia, waktu atau lokasi di dalam rumah.

Situasi seperti tercekik, lemas, luka parah, serangan jantung, renjatan elektrik atau kebakaran boleh berlaku dalam sekelip mata dan jika tidak ditangani dengan segera dan betul, ia boleh membawa maut. Namun, persoalannya sejauh mana kita benar-benar bersedia menghadapi detik cemas ini.

f8edf5a1 e5f3 42a0 98e5 000e7ebc71a1

Pakar Perubatan Kecemasan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Muhammad Izzat Abdul Hadi berkata, kecemasan seperti kebakaran dapur, sesak nafas, serangan jantung, strok, keracunan bahan kimia dan renjatan elektrik adalah antara kes paling kerap berlaku di dalam rumah.

“Dua (2) sebab utama yang menyumbang kepada berlakunya insiden kecemasan di rumah adalah kerana kecuaian dan tiada pengawasan rapi daripada orang dewasa.

“Justeru, amat penting bagi setiap individu mengetahui apa langkah awal yang perlu diambil apabila berdepan situasi begini,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Menurut Muhammad Izzat, golongan yang paling berisiko adalah kanak-kanak kerana mereka tidak mengenal erti bahaya dan tidak pandai melindungi diri mereka sendiri daripada kecederaan.

“Risiko yang sama turut terdedah kepada golongan kurang upaya dan warga emas.

“Tiga (3) perkara utama yang perlu semua orang tahu dalam mengendalikan sebarang kecemasan ialah memastikan keselamatan diri, segera menghubungi talian kecemasan (999) dan memberi bantuan asas kecemasan kepada mangsa sementara menunggu bantuan tiba,” ujarnya.

Muhammad Izzat turut menegaskan bahawa kita tidak seharusnya membahayakan diri sendiri ketika ingin membantu orang lain.

“Jika kawasan kejadian tidak selamat seperti adanya kebocoran gas atau api yang sedang marak, sebaiknya kita keluar daripada zon bahaya terlebih dahulu.

"Setelah keadaan terkawal, barulah bantuan awal seperti resusitasi kardio-pulmonari (CPR) atau rawatan luka ringan dapat dilakukan sekiranya mangsa memerlukan.

"Ini bermakna, ilmu bantuan kecemasan perlu menjadi pengetahuan asas yang dimiliki oleh setiap ahli keluarga, bukan hanya mereka yang bekerja dalam bidang kesihatan,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, antara persediaan penting yang perlu ada di rumah ialah peti pertolongan cemas (first aid kit) yang lengkap, ‘CPR mask’, sarung tangan pakai buang dan senarai nombor panggilan kecemasan seperti balai polis, hospital, pasukan bomba dan penyelamat yang berdekatan, serta alat perhubungan (telefon) yang berfungsi.

"Peralatan ini seharusnya disimpan di tempat yang mudah dicapai oleh semua isi rumah dan ibu bapa juga disaran untuk melatih anak-anak daripada awal tentang bagaimana mengenal pasti kecemasan dan siapa yang perlu dihubungi apabila berlakunya insiden sebegini.

"Pengetahuan ini mungkin nampak mudah, tetapi sangat berguna dalam menyelamatkan nyawa ketika saat genting," katanya.

Muhammad Izzat turut menekankan bahawa tanggungjawab mengendalikan kecemasan bukan hanya terletak di bahu petugas kesihatan semata-mata, sebaliknya setiap anggota masyarakat mempunyai peranan masing-masing.

“Pengetahuan tentang bantuan asas kecemasan, penggunaan alat keselamatan dan kesedaran tentang risiko bahaya di rumah perlu diterapkan secara meluas dalam kalangan masyarakat.

“Latihan berkala seperti bengkel CPR atau simulasi kebakaran di sekolah, universiti dan tempat kerja juga perlu digalakkan agar reaksi kita dalam situasi sebenar menjadi lebih yakin dan tersusun,” jelasnya.

Muhammad Izzat turut menasihatkan masyarakat agar lebih peka dan bersedia serta mampu bertindak dengan betul ketika berdepan detik cemas, terutamanya dalam ruang paling dekat dengan kita iaitu rumah sendiri.

“Sekiranya berlaku kes kecemasan yang mengancam nyawa, terus bawa pesakit ke Jabatan Kecemasan kerana klinik kesihatan dan klinik swasta tidak mempunyai staf dan fasiliti yang lengkap untuk resusitasi pesakit.

Sebagai penutup kepada perbincangan tersebut, Muhammad Izzat turut menitipkan pesanan kepada masyarakat agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan kerana pencegahan jauh lebih baik daripada merawat kecederaan dan menanggung komplikasinya.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 86