Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

UJIAN AIR KENCING, KAEDAH MUDAH SARING PENYAKIT DALAM BADAN SECARA MENYELURUH

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Ogos 2023 – Ujian air kencing atau analisis urin merupakan satu kaedah diagnostik yang umum digunakan dalam bidang perubatan untuk mengidentifikasi pelbagai masalah kesihatan melalui analisis komponen-komponen dalam air kencing.
 
Ujian air kencing dilakukan untuk mengesan masalah kesihatan seperti jangkitan kuman pada saluran kencing, diabetes atau kencing manis, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan gangguan kesihatan lain yang dapat mempengaruhi keseimbangan tubuh.
 
IMG 20230820 WA0026 
Menurut Pakar Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Hanim Afzan Ibrahim, semua bahan-bahan toksik yang berlebihan dalam tubuh seperti urea, kretinin, ubat-ubatan, dadah dan lain-lain akan disingkirkan bersama-sama urin daripada sistem ginjal sebagai penuras melalui ureter ke pundi kencing untuk dikumpulkan dan keluar sebagai air kencing. 
 
“Air kencing yang keluar adalah hasil perkumuhan badan yang penting untuk memberi isyarat bahawa badan kita mempunyai masalah kesihatan yang dikesan melalui analisa atau ujian air kencing.
 
“Kebiasaannya, Pegawai Perubatan akan meminta pesakit membuat ujian air kencing untuk mengetahui masalah kesihatan yang dihadapi pesakit sama ada mempunyai masalah buah pinggang, penyakit hati, masalah dengan darah ataupun diabetes.
 
“Pemeriksaan air kencing atau analisis urin merangkumi ujian strip dan ujian mikroskopi untuk melihat kehadiran komponen dalam air kencing” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
 
Tambah Hanim Afzan, melalui ujian mikroskopik pula, kita dapat mengesan kehadiran mikroorganisma atau bakteria yang menunjukkan terdapat jangkitan kuman pada saluran kencing pesakit.
 
“Kita boleh mengenal pasti melalui mikroskop apakah jenis kuman yang terlibat supaya Pegawai Perubatan dapat memberi preskripsi antibiotik bersesuaian dengan jenis kuman.
 
“Namun begitu, sekiranya keputusan ujian normal tetapi mempunyai simptom-simptom yang jelas, pesakit mungkin akan diminta untuk membuat ujian ulangan (mengumpul urin sekali lagi) kerana berkemungkinan sampel air kencing yang diambil sebelum ini terlalu sedikit atau cair untuk mendapatkan keputusan yang tepat.
 
“Ujian ini juga sebagai ujian untuk memantau komplikasi pesakit kencing manis dan darah tinggi supaya ia dapat di kesan lebih awal dan rawatan awal dapat diberikan” terangnya lagi.
 
Hanim Afzan turut menjelaskan bahawa pesakit disarankan mengambil sampel air kencing pertama pada waktu pagi untuk ujian kerana ia lebih pekat atau tepu serta lebih mudah untuk mengesan sebarang kehadiran substrat yang tidak normal. 
 
“Namun begitu, sampel air kencing rawak (air kencing yang diambil pada bila-bila masa) juga boleh digunakan.
 
”Pegawai yang bertugas perlu memberi arahan dengan baik mengenai prosedur yang betul untuk mengambil sampel urin seperti memastikan botol yang digunakan bersih dan dilabel nama, basuh tangan menggunakan sabun terlebih dahulu dan bersihkan bahagian alat sulit serta keringkan dengan tisu bersih sebelum mengumpul air kencing,” ujarnya.
 
Hanim Afzan berkata, pesakit juga diingatkan untuk tidak memasukkan bahagian pertama air kencing yang keluar kerana dikhuatiri air kencing itu sudah tercemar dengan bakteria pada kulit yang boleh menyebabkan kesalahan keputusan analisa.
 
”Pesakit perlu kencing terlebih dahulu, berhenti dan sambung kembali kencing di dalam bekas yang disediakan.
 
“Tutup penutup botol urin dengan betul dan ketat bagi mengelakkan sampel air kencing bocor.
 
“Hantar sampel segera atau kurang dari dua (2) jam kerana sampel air kencing boleh berubah menjadi alkali apabila terdedah lama,” tegasnya.
 
Menurut Hanim Afzan lagi, ujian air kencing juga adalah satu ujian rutin yang dijalankan semasa temu janji ibu mengandung.
 
“Ini kerana ibu mengandung berisiko mengalami masalah diabetes atau darah tinggi semasa mengandung. 
 
“Adalah penting untuk kita pastikan ibu mengandung bebas daripada diabetes dan darah tinggi kerana ia akan memberi komplikasi kepada bayi.
 
“Ibu mengandung juga mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan kuman pada salur kencing di mana simptom adalah tidak jelas dan hanya boleh dikesan melalui hasil ujian air kencing,” ulasnya lanjut.
 
Hanim Afzan turut menasihatkan orang awam agar lebih peka dengan perubahan badan seperti perubahan pada warna air kencing dan sebagainya serta terus ke klinik atau hospital berdekatan untuk melakukan ujian air kencing dan rawatan segera sebelum menjadi semakin parah.
 
Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan /Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh
  • Created on .
  • Hits: 5902