Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

URUS EMOSI TANGANI KESAN LEBIH BURUK HADAPI KEHILANGAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 September 2023 – Kehilangan adalah satu perkara dalam kehidupan yang tidak dapat dielak dan menjadi titik tumpuan perbincangan dalam kalangan masyarakat sejak sekian lama. 

Kehilangan, terutamanya kematian adalah sinonim dengan perjalanan kehidupan manusia di dunia.
 
Keadaan ini mencetuskan keperluan untuk memahami, menghormati dan memberikan sokongan kepada individu yang menghadapinya.
 
IMG 20230911 WA0014
 
Pegawai Psikologi, Unit Klinikal, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Ruzzairien Ramli berkata, kehibaan atau disebut sebagai ‘grief’ adalah satu gejala emosi yang akan dirasai apabila berlakunya kehilangan yang signifikan termasuk kematian.
 
"Perubahan emosi dapat dilihat sekiranya kematian tersebut melibatkan ibu bapa, anak, pasangan hidup atau kenalan rapat.
 
“Kehibaan adalah perkara yang normal dan ia bukan satu penyakit tetapi jika tidak diuruskan dengan betul, ia berisiko menjadi komplikasi atau penyakit mental yang memerlukan bantuan profesional.
 
“Kehibaan bergantung kepada jenis kehilangan dan ia terbahagi kepada empat (4) jenis iaitu kehibaan yang sebenar di mana ia berlaku dalam situasi sebenar, imaginasi yang berlaku secara gambaran atau andaian, kehibaan diduga iaitu kehilangan yang boleh dijangka dan kehilangan yang tidak jelas iaitu kehilangan yang tiada kepastian atau penutup (closure),” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.
 
Tambah Ruzzairien, 'grief' mempunyai fasa tetapi tiada kerangka masa yang betul atau spesifik.
 
“Terdapat lima (5) fasa kehibaan iaitu fasa penafian, kemarahan, pengharapan, kemurungan dan penerimaan.
 
"Namun tidak semua individu akan melalui fasa ini secara berperingkat kerana ia adalah satu proses yang tidak linear iaitu boleh berbalik antara fasa-fasa tersebut," jelasnya lagi.
 
Ruzzairien berkata, untuk mengurus dan menangani kehibaan, individu tersebut boleh menggunakan konsep 3A iaitu ‘Acknowledge’, ‘Adapt’ dan ‘Appreciate’ sebagai panduan.
 
"'Acknowledge' bermaksud mengakui dan melabel emosi yang dirasai seterusnya mengendalikannya. 
 
"Beri masa pada diri dan cuba ekspresikan emosi tersebut di samping aplikasi teknik kawalan pernafasan, menulis, 'grounding' dan berkongsi dengan individu yang dipercayai. 
 
"Apabila emosi kembali stabil, individu dapat berfikir dengan lebih rasional bahawa kematian adalah suatu perkara yang pasti dan di luar kawalan manusia," ujarnya.
 
Menurut beliau, 'adapt' ialah penyesuaian diri dengan keadaan semasa iaitu membentuk identiti dan peranan baharu. 
 
"Hal ini termasuklah perubahan rutin, meneroka minat dan aktiviti serta membina hubungan baharu.
 
"'Appreciate' pula ialah mengekalkan keterikatan dengan individu yang meninggal dunia dengan menghargai kehadirannya dalam hidup. 
 
"Contohnya dengan mengingati mereka melalui doa, meneruskan amalan-amalan yang dilakukan atau memenuhi impian serta hajat mereka sebelum ini," ulasnya lanjut.
 
Ruzzairien berkata, melalui konsep 3A ini, individu dapat menghadapi kehibaan dengan lebih sihat dan memberi makna baharu dalam hidup. 
 
Beliau turut menjelaskan bahawa kehilangan adalah cabaran besar dalam kehidupan dan setiap individu akan menghadapinya dengan cara yang berbeza.
 
"Perkara paling penting adalah mencari sokongan, menjaga diri sendiri dan memberi ruang kepada diri untuk merasai perasaan hiba semasa berduka. 
 
"Dengan memahami dan menghormati pengalaman ini, kita dapat membantu individu yang berduka melalui proses hiba dengan lebih baik," katanya.
 
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh
  • Created on .
  • Hits: 459