Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USAH TERUS CABUT GIGI, PEMERIKSAAN MENENTUKAN RAWATAN TERBAIK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 September 2026 – Karies atau gigi berlubang merupakan antara masalah kesihatan pergigian utama dalam kalangan masyarakat. Ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila mengalami kesakitan atau ketidakselesaan yang teruk, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan gigi pada usia yang lebih muda.

Menurut Pakar Pergigian Restoratif, Program Pergigian Konservatif dan Endodoktik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Syahrizal Halim, karies gigi kekal masih merupakan satu cabaran kesihatan awam yang signifikan di Malaysia.

“Menurut Tinjauan Kesihatan Mulut Orang Dewasa Kebangsaan (NOHSA), karies gigi kekal masih merupakan masalah kesihatan mulut yang tinggi dalam kalangan orang dewasa Malaysia.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencegahan dan rawatan awal penyakit pergigian perlu terus diperkukuhkan,” katanya ketika di temu bual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya karies gigi kekal dalam kalangan masyarakat.

“Antara faktor tersebut ialah kurang pendedahan kepada fluorida topikal yang mencukupi melalui kerana fluorida membantu menguatkan struktur enamel gigi dan mengurangkan risiko kerosakan gigi.

“Selain itu, gigi kekal molar pertama yang tumbuh seawal usia enam (6) tahun juga sering terdedah kepada risiko kerosakan karies kerana sebahagian ibu bapa menyangka gigi tersebut masih merupakan gigi susu.

“Akibatnya, gigi berkenaan kadangkala tidak diberikan perhatian sewajarnya apabila rosak, seterusnya meningkatkan risiko kehilangan gigi pada usia muda,” terangnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa amalan pemakanan harian memainkan peranan penting dalam perkembangan karies.

“Pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula serta karbohidrat secara kerap akan mewujudkan persekitaran mulut yang sentiasa berasid.

“Keadaan ini mempercepatkan proses penyahmineralan enamel dan meningkatkan risiko kerosakan gigi.

“Justeru, pengurangan pengambilan gula serta amalan kebersihan mulut yang baik merupakan langkah penting dalam pencegahan karies,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kecenderungan sesetengah pesakit untuk memilih cabutan gigi sebagai penyelesaian segera, Mohamad Syahrizal berkata, persepsi tersebut biasanya berpunca daripada beberapa faktor termasuk ketakutan terhadap rawatan pergigian, kurang kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan gigi asli serta kebimbangan terhadap kos rawatan.

“Sesetengah pesakit juga mempunyai pengalaman rawatan pergigian yang kurang menyenangkan pada masa lalu atau kurang memahami kemajuan teknologi pergigian moden, termasuk rawatan salur akar yang kini jauh lebih selesa berbanding dahulu,” katanya.

Menurut beliau, keputusan untuk mencabut gigi tidak seharusnya dibuat hanya berdasarkan tahap kesakitan yang dialami oleh pesakit.

“Kesakitan bukanlah penentu utama untuk mencabut gigi. Pemeriksaan klinikal yang menyeluruh serta penilaian radiograf diperlukan bagi menentukan keadaan sebenar gigi dan struktur sokongannya.

“Dalam banyak keadaan, gigi yang mengalami kesakitan masih boleh diselamatkan melalui rawatan yang sesuai,” ujar beliau.

Tambahnya, beberapa faktor akan dinilai sebelum sesuatu keputusan dibuat termasuk jumlah struktur gigi yang masih tinggal, keadaan akar gigi, tahap sokongan tulang di sekeliling gigi serta kewujudan retakan pada akar gigi.

“Kesihatan keseluruhan pesakit juga perlu diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi prognosis dan kejayaan rawatan yang dirancang,” katanya.

Mengulas mengenai rawatan salur akar, beliau menjelaskan bahawa prosedur tersebut bertujuan merawat jangkitan yang berlaku pada bahagian pulpa atau saraf gigi apabila karies gigi telah teruk.

“Rawatan ini melibatkan proses membersihkan saluran akar yang dijangkiti, menghapuskan bakteria penyebab keradangan serta menutup semula ruang salur akar bagi mengelakkan jangkitan berulang.

“Matlamat utama rawatan salur akar adalah untuk mengekalkan gigi asli supaya ia terus berfungsi dengan baik dalam jangka masa panjang, tanpa rasa sakit” katanya.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu terlalu bimbang sekiranya disarankan menjalani rawatan salur akar kerana rawatan tersebut bukanlah prosedur yang menyakitkan seperti yang sering digambarkan.

“Ramai pesakit berasa takut apabila mendengar istilah rawatan salur akar kerana menganggap prosedur tersebut sangat menyakitkan.

“Hakikatnya, dengan penggunaan teknik bius moden dan kemajuan teknologi pergigian semasa, rawatan salur akar lazimnya dapat dijalankan dengan selesa dan bertujuan untuk menghilangkan kesakitan yang berpunca daripada jangkitan saraf gigi.

“Rawatan salur akar tidak dilakukan untuk menyebabkan kesakitan, sebaliknya dilakukan untuk menghilangkan kesakitan serta memberi peluang kepada gigi yang bermasalah untuk terus dikekalkan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kejayaan rawatan salur akar tidak hanya bergantung kepada proses membersihkan saluran akar semata-mata, tetapi turut bergantung kepada keadaan struktur gigi yang masih tinggal selepas kerosakan berlaku.

“Bagi memastikan gigi dapat terus berfungsi dalam jangka panjang, struktur gigi yang masih tinggal perlu mencukupi untuk dibina semula melalui rawatan pemulihan seperti tampalan atau mahkota pergigian.

“Sekiranya sebahagian besar struktur gigi masih dapat dikekalkan dan gigi tersebut masih boleh direstorasi dengan baik, peluang untuk mengekalkan gigi tersebut adalah sangat memuaskan.

“Sebaliknya, jika kerosakan terlalu teruk sehingga struktur gigi yang tinggal tidak lagi mencukupi untuk menyokong pemulihan yang berkesan, pilihan rawatan lain mungkin perlu dipertimbangkan,” katanya.

Mohamad Syahrizal berkata, antara kelebihan utama rawatan salur akar ialah keupayaannya mengekalkan gigi asli serta fungsi kunyahan pesakit.

“Dengan mengekalkan gigi asli di dalam rahang, rawatan salur akar membantu mengurangkan risiko penyusutan tulang yang lazim berlaku selepas kehilangan gigi.

“Rawatan ini juga mengekalkan proprioception semula jadi, iaitu keupayaan untuk merasai tekanan dan kedudukan gigi ketika menggigit atau mengunyah makanan,” terangnya lagi.

Beliau berkata, sekiranya gigi tidak lagi dapat diselamatkan, pesakit masih mempunyai beberapa pilihan untuk menggantikan gigi yang hilang.

“Antara pilihan yang tersedia ialah gigi palsu boleh tanggal (removable denture), jambatan gigi (dental bridge) dan implan pergigian (dental implant).

“Implan pergigian sering dianggap sebagai salah satu pilihan terbaik bagi menggantikan gigi yang telah hilang kerana ia menawarkan kestabilan yang baik, fungsi kunyahan yang memuaskan serta nilai estetik yang tinggi,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa implan pergigian tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti utama kepada gigi yang masih boleh diselamatkan.

“Dalam pergigian moden, matlamat utama kami bukanlah untuk menggantikan gigi, tetapi untuk mengekalkan gigi asli selama yang boleh.

“Implan pergigian merupakan pilihan yang sangat baik apabila gigi tidak lagi dapat diselamatkan.

“Namun, jika gigi masih mempunyai prognosis yang baik dan masih boleh dipulihkan, usaha untuk mengekalkannya melalui rawatan yang sesuai lazimnya merupakan pilihan yang wajar dipertimbangkan terlebih dahulu,” ulasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala dan tidak menangguhkan rawatan sehingga masalah menjadi lebih serius.

“Setiap gigi yang kita miliki sangat bernilai. Jangan terlalu cepat membuat keputusan untuk mencabut gigi.

“Dapatkan pemeriksaan dan nasihat profesional terlebih dahulu kerana dalam banyak keadaan, gigi yang bermasalah masih boleh diselamatkan melalui rawatan moden tanpa perlu dicabut,” katanya lagi.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 62