‘SLIP DISC’: JAGA POSTUR BADAN DAN PERGERAKAN MAMPU ELAK MASALAH TULANG BELAKANG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Mei 2025 – Tulang belakang adalah struktur utama yang menyokong postur badan dan membantu seseorang berdiri tegak. Ia terdiri daripada tulang-tulang kecil yang dipanggil vertebra yang disusun secara bertingkat.
Di antara setiap tulang ini terdapat cakera lembut (disc) yang berfungsi menyerap hentakan dan mengelakkan geseran antara tulang. Setiap cakera mempunyai dua (2) bahagian iaitu lapisan luar yang keras (annulus fibrosus) dan bahagian dalam yang lembut seperti gel (nucleus pulposus). Kerosakan pada cakera ini boleh menyebabkan berlakunya ‘slip disc’, satu keadaan yang boleh memberi kesan serius kepada kesihatan.
Menurut Pensyarah dan Pakar Anestesiologi serta Rawatan Kesakitan, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Sanihah Che Omar, ‘slip disc’ berlaku apabila lapisan luar cakera mengalami kecederaan dan menyebabkan bahagian dalam yang lembut terkeluar melalui celahan atau koyakan, lalu menekan saraf berhampiran.
“Slip disc boleh berlaku di mana-mana bahagian tulang belakang, sama ada di leher (servikal), tengah belakang (torasik) atau pinggang (lumbar) dan biasanya dialami oleh individu berumur 30 hingga 50 tahun, dengan lelaki mempunyai risiko dua (2) kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.
“Menurut statistik daripada Pusat Maklumat Bioteknologi Kebangsaan, kadar kejadian ‘slip disc’ dianggarkan antara lima (5) hingga 20 kes bagi setiap 1,000 orang dewasa setiap tahun," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.
Sanihah menjelaskan bahawa ‘slip disc’ boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti peningkatan usia, mengangkat beban berat, berat badan berlebihan (obesiti), postur badan yang statik untuk tempoh masa yang lama, trauma akibat kecederaan sukan atau kemalangan, tabiat merokok dan gaya hidup tidak aktif.
“Faktor usia merujuk kepada keadaan di mana, apabila seseorang semakin berumur, bahagian luar ‘disc’ akan menjadi semakin haus dan lemah serta tekanan tinggi daripada bahagian dalam cakera boleh menyebabkan isi dalamnya terdorong keluar dari tempat asal.
“Sementara itu, aktiviti mengangkat objek berat pula meningkatkan tekanan dalam cakera, yang boleh mengakibatkan cakera berganjak dan seterusnya menekan saraf, lalu menyebabkan kesakitan.
“Tulang belakang juga tidak mampu menampung berat badan yang berlebihan, menyebabkan tekanan dalam cakera (disc) meningkat dan seterusnya boleh mengakibatkan ‘slip disc’,” jelasnya lagi.
Tambah Sanihah, postur badan yang kekal dalam keadaan statik untuk tempoh lama, seperti ketika memandu atau bekerja tanpa rehat, juga menjadi punca utama masalah ini kerana tekanan berterusan tertumpu pada cakera tersebut.
“Trauma akibat kecederaan semasa bersukan atau kemalangan juga menyumbang kepada risiko ‘slip disc’, terutamanya jika kecederaan itu melibatkan tulang belakang.
“Gaya hidup yang tidak aktif tanpa rutin senaman atau regangan menyebabkan otot menjadi kaku, lemah dan kurang fleksibel, sekali gus meningkatkan kemungkinan ‘slip disc’ berlaku,” ulasnya lanjut.
Sanihah turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa gejala terjadinya ‘slip disc’ dan gejala bergantung pada lokasi ‘slip disc’ yang terjejas sama ada di bahagian leher, tengah badan atau pinggang.
“’Slip disc’ di bahagian pinggang (lumbar spine) merupakan yang paling kerap berlaku. Antara gejala yang biasa dialami termasuklah sakit di bahagian bawah belakang, rasa sakit yang menjalar ke punggung, paha, betis atau kaki dan keadaan ini dikenali sebagai sciatica.
“Pesakit juga mungkin mengalami rasa kebas atau kelemahan pada kaki dan dalam kes tertentu, individu yang terjejas akan sukar untuk berdiri dalam tempoh yang lama kerana kesakitan dan tekanan pada saraf.
“’Slip disc’ juga boleh berlaku di bahagian leher (cervical spine) dan gejala yang biasa dialami termasuk sakit leher yang mungkin disertai dengan rasa sakit yang menjalar ke bahu, lengan atau tangan,” katanya.
Selain itu, menurut Sanihah, pesakit juga boleh mengalami kebas atau kelemahan pada tangan dan dalam sesetengah kes, ‘slip disc’ di leher turut menyebabkan sakit kepala akibat tekanan pada saraf di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan menyeluruh diperlukan untuk mengesahkan diagnosis dan proses diagnosis dilakukan oleh pakar melalui beberapa kaedah, termasuklah mengambil sejarah kesihatan pesakit, melakukan pemeriksaan fizikal serta menjalankan ujian pengimejan Magnetic Resonance Imaging (MRI).
“MRI merupakan kaedah paling tepat untuk mengenal pasti ‘disc’ yang terjejas serta saraf yang terlibat,” ujarnya lagi.
Sanihah turut menjelaskan bahawa proses rawatan akan disesuaikan mengikut keadaan pesakit bergantung kepada tahap kesakitan, ketidakselesaan, dan sejauh mana tahap prolaps ‘disc’ tersebut.
“Secara umumnya, rawatan bagi ‘slip disc’ terbahagi kepada dua (2) iaitu rawatan konservatif (bukan pembedahan) dan pembedahan.
“Pada peringkat awal, rawatan biasanya melibatkan pemberian ubat tahan sakit dan anti-radang, ubat untuk meredakan saraf serta ubat penenang otot.
“Selain itu, terdapat juga pilihan rawatan seperti suntikan steroid epidural, prosedur discectomy menggunakan radiofrekuensi atau laser, Intradiscal Electrothermal Therapy (IDET) dan fisioterapi kerana kesemua kaedah ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan pada cakera dan melegakan simptom yang dialami pesakit," katanya.
Sanihah berkata, pembedahan hanya akan dipertimbangkan sekiranya rawatan konservatif tidak memberikan kesan atau sekiranya pesakit menunjukkan gejala yang semakin serius seperti kelemahan otot dan saraf secara progresif serta gangguan kawalan kencing atau pembuangan air besar.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan dengan menjaga postur badan, bersenam secara berkala, mengelakkan tabiat merokok dan mengekalkan berat badan ideal.
“Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Amalkan gaya hidup sihat untuk melindungi tulang belakang anda,” jelasnya.
Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Hits: 62